Monday, 1 December 2014

Kenapa kita buat apa yang kita suka buat?









Teringat saya pada satu sesi taaruf dalam program yang lepas. Ketika itu, kami sedang bertaaruf dalam satu bulatan gembira. Apa yg menariknya untuk sesi taaruf kali ini selain daripada berkongsi mngenai maklumat diri yang asas, kami dihadiahkan satu soalan “Apa yang kamu suka buat dan kenapa?”

Dalam ramai-ramai yang berkongsi, saya tertarik pada kata-kata salah seorang hewi pada ketika itu. Menurutnya, dia suka mendaki gunung. KENAPA?

“..sebab hobi kita sama macam apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Saya suka mendaki bukit, sebab bukit itu tinggi. Makin tinggi,  makin sukar kan? Macam itulah juga kehidupan kita. Makin kita melangkah ke hadapan, makin sukar. Bermacam-macam halangan yang kita perlu hadapi. Boleh saja kita pilih untuk bersiar-siar di tepi pantai daripada mendaki bukit. Kenapa perlu bersusah jika boleh memilih untuk senang?”

*err..sentap yang bagi tahu hobi dia suka bersiar-siar tepi pantai tadi..*

“Apa yang membezakan antara kedua hobi ini adalah, kepuasan. Makin banyak yang kita berikan, makin banyak yang kita usahakan, makin banyaklah yang kita dapat. Mendaki bukit ini sesuatu yang mencabar, tapi di akhir pendakian ini.. kita dapat melhat matahari terbit/terbenam. Begitulah juga dalam kehidupan kita ini. Makin banyak kita usaha, makin banyaklah kita dapat.. Wallahualam.

Cantik sekali.. cantik perancangan Allah SWT buat hamba-hambaNya. Teruskan Perjuangan!

HIDUP BIAR BERJASA

Saturday, 13 September 2014

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA CAWANGAN UNIVERSITI SELANGOR
12 SEPTEMBER 2014

GESAAN MEMPERKETAT KERAHSIAAN SOALAN PEPERIKSAAN UPSR

PKPIM Unisel turut sama ingin menyatakan kekesalan di atas kebocoran soalan matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Umumnya, seluruh Negara masih belum reda dalam mengunggapkan kekesalan akan penundaan tarikh calon menduduki kertas Sains yang sepatutnya dijadualkan pada hari Khamis ditangguhkan ke 30 September (kerana soalannya didapati tersebar di laman media) : hari ini pula negara dikejutkan dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mengumumkan murid Tahun 6 terpaksa menduduki semula kertas peperiksaan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana terdapat kebocoran soalan.

Memetik dari kenyataan media Lembaga Peperiksaan (LP) yang dikeluarkan pada 10 September, Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

Isu kebocoran soalan ini perlu ditanggapi dengan sangat serius kerana impak negatif dari kebocoran soalan ini sangat destruktif, bukan sahaja merugikan pelajar yang tidak terlibat dan terdedah dengan sebaran soalan bocor, malah meletakkan pelajar yang sebenarnya tidak layak di posisi yang tidak sepatutnya, misalnya mendapat tawaran kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah berprestasi tinggi.

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar perihal soalan peperiksaan 'bocor'. Malah ketirisan ini sudah didengungkan sejak lama dulu, sebelum zaman kepesatan media sosial dengan segala informasi terkini mudah tersebar melalui ‘Instant Messaging’ seperti aplikasi Whatsapp, Telegram, WeChat dan lain lain.

Pelajar cemerlang yang terhasil dengan bantuan soalan bocor tidaklah jauh berbeza dengan seperti hadirnya produk produk cetak rompak yang memalsukan citra asli produk produk asli tapi hakikatnya memiliki kecacatan dan ambivalensi dari pelbagai sudut seperti contoh; ‘Inferior’ dari segi kualiti, culas dalam berusaha, bantut kreativiti dan lemah untuk berkreasi apatah lagi untuk diharapkan mampu untuk memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang menyeru kepada usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

PKPIM Unisel memandang serius akan perkara ini kerana ia sedikit sebanyak bukan sahaja akan mengganggu gugat emosi dan persediaan calon calon UPSR, malahan emosi ibu bapa dan guru guru yang tentunya lebih terganggu kerana mereka lah individu yang banyak terlibat di dalam proses persediaan calon calon sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Oleh itu, PKPIM Unisel menggesa supaya siasatan menyeluruh perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengesan dalang yang membocorkan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) harus mencari satu solusi dan mekanisme yang tepat bagi memastikan kebocoran soalan peperiksaan dapat dibendung pada masa akan datang, Hanya dengan tindakan segera, keyakinan dan kepercayaan rakyat akan integriti dan ketelusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan dapat dipulihkan semula.

Mohamad Azhaari Shah Sulaiman,
Amir PKPIM Universiti Selangor



Thursday, 19 June 2014


UCAPAN DASAR BERSEMPENA
MUKTAMAR SANAWI PKPIM UNISEL KALI KE-8
Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
DIPLOMA TEKNOLOGI INDUSTRI, TAHUN AKHIR

الحمدللهر بالعالمين
والصلاة والسل امعليخاتما لأنبياْ والمرسلين
Bissmillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang dihormati Saudara Pengerusi
Yang Berbahagia ahli-ahli MajlisSyura PKPIM UNISEL
Barisan Kepimpinan PKPIM UNISEL 2013/2014
Para muktamirin dan muktamirat Sekalian.

Setinggi – tinggi kalimah tahmiddan syukur, saya mewakili seluruh saf kepimpinan PKPIM UNISEL mengalu-alukan kehadiran seluruh muktamirin dan muktamirat ke Majlis Pehimpunan Agung Tahunan PKPIM UNISEL  Kali Ke-8 pada tahun ini. Muktamar Agung Tahunan sinonim dengan medan muhasabah gerakan, gelanggang kritikan membina serta hala tuju perancangan sepenggal organisasi. Kita perlu yakin bahawa muktamar memainkan peranan spiritual iaitu mampu memperbaharui komitmen, semangat juang dan mendekatkan kita dengan insan yang ikhlas dalam perjuangan.Oleh itu, muktamirin dan muktamirat sekalian perlulah menghadirkan rasa ikhlas dalam jiwa kita hari ini untuk sama-sama mengkoreksi (memperbaiki) agenda gerakan dan memperkasakannya pada masa akan datang.

Tema ucapan dasar pada muktamar kali ini ialah Kemantapan Generasi Muda Dalam Mendepani Cabaran. Frasa yang sering kali di dengari adalah ‘’Belia Dan Pelajar hari ini adalah Pemimpin di Hari Kemudian’’. Ia merupakan suatu dorongan motivasi bagi menyediakan kepimpinan di setiap peringkat khususnya universiti. Perancangan bagi system latihan persediaan kepimpinan itu seharusnya di teliti semula serta harus dilaksanakan dengan berkesan. Dalam rangkuman semasa, mahasiswa juga sering kali dikaitkan dengan generasi muda yang mempunyai daya kepimpinannya yang tersendiri. Tugasnya bukan saja memikir tetapi menggerakkan isu-isu yang melingkari kebajikan pelajar mahupun nasional sehingga menjadi suara kepada masyarakat. Seharusnya kita sebagai gerakan pelajar harus peka kepada perkembangan yang berlaku di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

KEPELBAGAIAN ILMU SEBAGAI PERSEDIAAN TURUN KE LAPANGAN

Merenung kembali sejarah hasil dari produk PKPIM, ramai dari kalangan ahli yakini menjadi tokoh masyarakat, ahli akademik, ilmuan, pegawai kerajaan serta aktivis masyarakat. Semua itu bukan hanya kebetulan, sebaliknya ia merupakan proses pembangunan intelektual, pemantapan amalan kerohanian, aktivisme yang terus konsisten dan penglibatan dalam isu nasional mahupun antarabangsa. Perbincangan serta diskusi atau elemen-elemen penting harus dipergiatkan bagi mempersiapkan generasi muda yang akan turun kelapangan bersama masyarakat seperti yang pernah diungkapan generasi muda atau mahasiswa sebagai ‘’Agen Perubah’’. Perihatin dan iltizam dengan isu semasa ungkapan yang harus diberi perhatian serta digerakan dalam usaha pemantapan generasi muda dan penekanaan ini juga digunakan oleh PKPIM sebagai budaya kepada kesemua ahli. Dalam Majalah Varsiti, Universiti Malaya pada tanggal 1977/78, merupakan majalah rasmi mahasiswa Universiti Malaya mencatatkan sebuah kata-kata iaitu ‘’Mahasiswa adalah anak masyarakat, maka pulanglah bertemu ibubapa untuk berbakti”. Pak Nasir pernah mengungkapkan ‘’Seorang pemimpin umat Islam mesti merasai nadi denyutan umat, sekiranya umat terasa kesakitan, maka pemimpin juga perlu merasai kesakitannya’’. Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan :-
…’’Barang Siapa Yang Tidak Prihatin Tentang Permasalahan, Perkembangan Dan Perubahan Umat, Maka Dia Bukanlah  Di  Kalangan Kami’’…

PILIHANRAYA KAMPUS MEMBENTUK IDEALISME MAHASISWA

Pilihanraya kampus (PRK) merupakan suatu sesi pemilihan barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pemilihan yang diadakan sekali dalam setahun ini umpama suatu perayaan kepada mahasiswa untuk melihat sejauh mana wibawanya dan berkualiti calon yang bertanding tidak kira daripada pihak yang dipilih atau secara sukarela untuk dijadikan pemimpin mereka. Ketika ini, sudah pasti proksi yang bertanding sibuk untuk menamakan calon-calon yang bakal dipertandingkan untuk mewakili mereka dalam memenangi hati bakal pengundi mereka. Pelbagai watak yang ditonjolkan serta banyak juga watak-watak yang tertonjol tika mendekati para pengundinya. Mahasiswa adalah insan yang terdidik dan kaya secara akademik dan harus juga peka terhadap persekitaranya. Kualiti semula jadi dalam diri mahasiswa ini harus dikekalkan agar identity mahasiswa bitara terus disegani oleh masyarakat sebagai insan yang berilmu. Oleh itu, politik kampus harus diwarnai dengan perdebatan idea dan pandangan yang berasaskan ilmu yang benar.

Memetik mutiara kata Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, bahawa mahasiswa harus mempunyai kemampuan sebagai human transformer kepada mahasiswa di dalam kampus mahupun masyarakat sekitarnya. Universiti harus menjadi tempat lahirnya pemimpin yang bercita-cita tinggi. Manifesto yang dicipta dan dirangka dengan pencambahan idea yang kritis perlu melebihi isu memperjuangkan kebajikan pelajar. Isu sosio-masyarakat harus juga dimainkan oleh para calon yang bertanding. Mahasiswa seharusnya memainkan peranan mereka sebagai the conscience of the majority bagi membalas kepercayaan dan sanjungan tinggi masyarakat terhadap mereka selama ini.

PENGORBANAN DAN KESUNGGUHAN

Bukanlah suatu yang normal untuk menyembelih seorang manusia, apatah lagi anak sendiri.Tika Nabi Ibrahim a.s diperintahkan untuk menyembelih Ismail a.s, baginda ditanya sesuatu oleh anaknya, “Wahai bapaku, adakah ini merupakan wahyu dan perintah daripada Allah. Jika ya, teruskanlah hasrat tersebut atas sebab cinta dan ketaatan kita terhadap Allah”. Juga, bukanlah suatu yang normal apabila si anak merelakan dirinya disembelih bapanya sendiri. Ini merupakan suatu peristiwa agong yang penting dalam sejarah ketamadunan manusia sepanjang zaman. Pengorbanan dan kesungguhan mereka merupakan manifestasi keimanan dan ketaatan terhadap perintah Allah. Akhirnya, setelah terbukti dan teruji akan keimanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.s, Allah menggantikan sembelihan yang sepatutnya iaitu Ismail a.s. Maka tidak hairanlah mengapa cucu cicit keturunan mereka akhirnya melahirkan insan Agong, Nabi Muhamad saw. Nabi Muhammad s.a.w mewarisi kesungguhan dan sifat pengorbanan moyang-moyangnya, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Kemuliaan Baginda adalah kurniaan Allah dan juga kerana kesungguhannya.

Jika ditanya soal pergorbanan yang sudah kita lakukan, apakah tidak terlintas di fikiran bahawa sangat sedikit pengorbanan dan kesungguhan yang kita lakukan pada hari ini. Bukan sehingga terkorban diri. Jika mahu kemana-mana yang harus di ingatkan dan yang paling utama ialah soal tiada kenderaan mahupun tiada wang, jika di dahulukan wangnya pasti mahu resitnya juga agar menjadi bukti. Akhir kata, buat rakan seperjuangan nurkilan sajak ‘’Hidup Beradab’’:-

Sedarlah makhluk bernama Insan,
Engkau diberi pelbagai kurniaan,
Akal dan nafsu sentiasa berlawan,
Hati dan rasa menjadi kekuatan,
Mengapa engkau hidup tidak berpedoman?

Panduan diberi pedoman ditunjuki,
Katanya umat yang paling mulia diantara semuanya,
Tapi mengapa hal seremeh itu engkau tidak endahkan?
Bukankah ia sebahagian dari cerminan jiwa dan budi?
Serta gambaran hati dan sanubari yang bersemat dalam diri?

Kecantikan serta kebersihan,
Itu amalan bernilai erti,
Mudah dikata tapi sukar dilaksana,
Tapi janganlah sampai engkau abaikan,
Kerna ia mencemar keperibadian,
Dan juga Agama Panduan,

Orang menilai mengikut pandangan,
Bukannya pada hakikat kejadian,
Serta juga bukan pada Kitab Panduan,
Sedarlah diri penuhi amanah yang diberi,
Tunaikan hak laksanakan janji,

Semoga hidup engkau diberkati...