Saturday, 13 September 2014

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA CAWANGAN UNIVERSITI SELANGOR
12 SEPTEMBER 2014

GESAAN MEMPERKETAT KERAHSIAAN SOALAN PEPERIKSAAN UPSR

PKPIM Unisel turut sama ingin menyatakan kekesalan di atas kebocoran soalan matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Umumnya, seluruh Negara masih belum reda dalam mengunggapkan kekesalan akan penundaan tarikh calon menduduki kertas Sains yang sepatutnya dijadualkan pada hari Khamis ditangguhkan ke 30 September (kerana soalannya didapati tersebar di laman media) : hari ini pula negara dikejutkan dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang mengumumkan murid Tahun 6 terpaksa menduduki semula kertas peperiksaan Bahasa Inggeris bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana terdapat kebocoran soalan.

Memetik dari kenyataan media Lembaga Peperiksaan (LP) yang dikeluarkan pada 10 September, Pengarah Peperiksaan Dr Na'imah Ishak berkata siasatan awal mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

Isu kebocoran soalan ini perlu ditanggapi dengan sangat serius kerana impak negatif dari kebocoran soalan ini sangat destruktif, bukan sahaja merugikan pelajar yang tidak terlibat dan terdedah dengan sebaran soalan bocor, malah meletakkan pelajar yang sebenarnya tidak layak di posisi yang tidak sepatutnya, misalnya mendapat tawaran kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah berprestasi tinggi.

Ini bukanlah kali pertama kita mendengar perihal soalan peperiksaan 'bocor'. Malah ketirisan ini sudah didengungkan sejak lama dulu, sebelum zaman kepesatan media sosial dengan segala informasi terkini mudah tersebar melalui ‘Instant Messaging’ seperti aplikasi Whatsapp, Telegram, WeChat dan lain lain.

Pelajar cemerlang yang terhasil dengan bantuan soalan bocor tidaklah jauh berbeza dengan seperti hadirnya produk produk cetak rompak yang memalsukan citra asli produk produk asli tapi hakikatnya memiliki kecacatan dan ambivalensi dari pelbagai sudut seperti contoh; ‘Inferior’ dari segi kualiti, culas dalam berusaha, bantut kreativiti dan lemah untuk berkreasi apatah lagi untuk diharapkan mampu untuk memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang menyeru kepada usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

PKPIM Unisel memandang serius akan perkara ini kerana ia sedikit sebanyak bukan sahaja akan mengganggu gugat emosi dan persediaan calon calon UPSR, malahan emosi ibu bapa dan guru guru yang tentunya lebih terganggu kerana mereka lah individu yang banyak terlibat di dalam proses persediaan calon calon sebelum menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Oleh itu, PKPIM Unisel menggesa supaya siasatan menyeluruh perlu dilakukan dengan kadar segera bagi mengesan dalang yang membocorkan kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) harus mencari satu solusi dan mekanisme yang tepat bagi memastikan kebocoran soalan peperiksaan dapat dibendung pada masa akan datang, Hanya dengan tindakan segera, keyakinan dan kepercayaan rakyat akan integriti dan ketelusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan dapat dipulihkan semula.

Mohamad Azhaari Shah Sulaiman,
Amir PKPIM Universiti Selangor