Tuesday, 31 December 2013

HENTIKAN KENAIKAN HARGA ALAT TULIS



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah kenaikan harga alat tulis dan buku sebanyak 20 hingga 30 peratus bermula tahun hadapan.

Menurut kenyataan  Tey Tong Sing, Presiden ‘The Federation of Stationers and Booksellers Association of Malaysia’ menyatakan kenaikan harga alat tulis dan buku pada suku Pertama tahun 2014 adalah disebabkan faktor kenaikan harga minyak yang secara langsung mengakibatkan kos pengangkutan meningkat. Selain itu, kadar pertukaran wang yang tinggi terutama dengan negara China kerana kebanyakan alat tulis di import dari negara China. Tambahan lagi, kadar kenaikan tarif elektrik juga menjadi sebab kenaikan harga alat tulis dan buku ini.

Oleh hal yang demikian, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengambil berat akan hal ini. Selain itu, Kementerian perlu mengambil tindakan tegas sekiranya kenaikan barang ini berlaku juga.

Disini, PKPIM menyatakan keprihatinan kami terhadap nasib rakyat Malaysia khususnya para pelajar yang akan menghadapi masalah besar sekiranya kenaikan harga buku dan alat tulis. Kami yakin, beban yang ditanggung oleh para ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih belajar sangat tinggi. Bayangkan jika keluarga yang mempunyai lebih seorang anak masih belajar. Kos pembiayaan alat tulis dan buku-buku juga akan meningkat dan ditambah dengan kadar pembiayaan pembiyaan Pendidikan yang sememangnya tinggi.

Justeru, PKPIM berharap agar kenaikan harga minyak, tol dan tarif elektrik pada tahun depan dibatalkan kerana akan menyebabkan pelbagai lagi barang akan naik.

PKPIM juga menggesa agar kerajaan mengkaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat. Semakan semula harga dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu dibuat segera bukan dengan merasionalkan kenaikan tarif elektrik, termasuklah menggugurkan elemen harga tetap seumpama harga kapasiti bersedia dan kapasiti tetap yang mengakibatkan kos elektrik meningkat.

PKPIM berharap agar masalah ini dapat diselesaikan dengan segera sebelum menjelang 2014. PKPIM juga masih optimis dan berharap agar kenaikan barang ini dapat diatasi dengan baik.

disediakan oleh : KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
                          Setiausaha Agung PKPIM
                          Sesi 2013/2014
                          http://www.pkpim.org.my

TERIMA SEADANYA

“Sesiapa yang tidak bersyukur atas nikmat yang sedikit, hakikatnya dia tidak bersyukur atas nikmat yang banyak. Dan sesiapa yang tidak berterima kasih pada manusia, hakikatnya dia tidak berterima kasih pada Allah.” (Riwayat Nu’man Ibnu Bashir)

“Qanaah atau merasa cukup sesuatu yang telah sedia ada itu merupakan suatu kumpulan harta yang tidak akan habis dan suatu perbandaharaan yang tidak akan musnah.” (Riwayat Al-Qudhaai)


Dalam kehidupan, kita biasanya tidak akan dapat semua yang kita mahukan. Ada yang susah dari segi kewangan tetapi punyai ramai anak. Ada yang kaya raya tetapi kesepian dan impikan cahaya mata. Ini adalah sebahagian rahsia Allah, bukan Allah tidak saying tetapi kerana Dia sudah membuat perancangan yang rapi untuk manusia.

Jalan terbaik, berpuas hatilah dengan apa yang diberikan dan janganlah rasa kecewa. Tiada yang sempurna di dunia ini. Kita tidak akan dapat semua yang kita mahukan kerana barangkali itu akan menyebabkan kita menjadi manusia yang riak dan lalai.

BISIKAN KE HATI


“Kini aku sedar rahsia ketetapan Allah terhadap diriku. Jika cita-cita dan keinginanku terkabul, aku akan bersyukur dan gembira dengan nikmat yang ada. Namun jika sebahagiannya tidak tercapai, aku tidak akan kesal dengan nasibku. Aku sedar tiada yang sempurna dan aku terima keadaan ini seadanya.”

disediakan oleh : Layla Sa'idah



HATI TENTERAM JIKA MENGINGATI ALLAH

“Orang yang beriman itu hati mereka jadi tenteram kerana mengingati Tuhan. Ingatlah bahawa dengan mengingati Tuhan, hati menjadi tenteram. Orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, mereka beroleh untung yang baik dan tempat kembali yang utama.” (Surah Ar-Ra’ad) ayat 28-29)

“Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu. Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan dan keyakinan mereka di samping keimanan mereka yang sedia ada.” (Surah Al-Fath ayat 4)


Jiwa aman, fikiran lapang boleh diperoleh dalam apa bentuk keadaan sekalipun. Kita boleh melalui hari-hari dengan ceria, gembira tidak kira dalam keadaan apa sekalipun diri kita. Rahsianya adalah dengan mengingati Allah dalam senang, dalam susah, dalam suka dan dalam duka.

Cahaya kedamaian selalu menyinari jiwa orang yang hatinya dekat dengan Allah. Sama ada mereka kaya berada atau miskin tidak berharta , mereka sihat atau diuji dengan kesakitan, meraka masih boleh tenang andai dalam hati ada Tuhan. Pendek kata krisis hidup bukanlah penamat kehidupan, andai mereka reda, hati mereka akan terus tenteram.

BISIKAN KE HATI

“Aku sentiasa dekat dengan Allah. Jiwaku aman, fikiranku tenang walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Hari-hariku ceria dan penuh harapan. Aku tidak gundah risau, malah mampu tersenyum kerana aku yakin kebaikan yang Allah janjikan untukku. Dia telah meniup ketenangan dan ketenteraman dalam hatiku.”

disediakan oleh : Layla Sa'idah

Monday, 30 December 2013

MUNGKIN ITU YANG TERBAIK


“Akan  seseorang selama dia tidak terburu-buru sehingga dia mengatakan, aku sudah berdoa tetapi tidak dikabulkan.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tarmizi, dan Ibnu Majah)

“Jangan kamu ragu akan janji Allah jika belum beroleh apa yang dijanjikan, meskipun zamannnya telah ditentukan. Janganlah keraguan itu menimbulkan kerosakkan dalam mata hati kamu dan memadamkan cahaya (nur) rahsia hati.” (Kata Hikmah ahli sufi, Ibnu Athaillah)

Kita mungkin sudah kerap berdoa tetapi belom termakbul hajat yang dipohon. Kita mungkin rasa bosan kerana sekian lama berdoa dan meminta, masih tidak tercapai hasratnya lagi.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui  waktu dan bentuk yang paling sesuai untuk mengabulkan doa hamba-Nya.

Hasrat kita lambat tertunai, mungkin kerana belum tiba masanya untuk kita menerima. Barangkali juga Allah akan mengantikan dalam bentuk yang lain, yang jauh lebih baik dan berharga kerana permintaan yang asal tidak sesuai dengan diri kita.

Kejayaan dan kebahagian yang kita impikan akan tetap hadir hanya mungkin dalam bentuk dan waktu yang yang tidak kita duga. Atau dengan kata lain, ia berlainan dari perancangan yang kita buat tetapi jangan ragu-ragu kerana mungkinitulah yang terbaik untuk kita.

BISIKAN KE HATI

“Aku tekun berdoa dan berusaha untuk kejayaan dan kebahagiaan. Aku sedar ada ketikanya hajatku lambat dipenuhi dan mungkin Allah akan mengantikan yang lain dan yang lebih baik. Aku yakin kejayaan dan kebahagiaan itu akan jadi milikku walaupun mungkin dalam bentuk dan waktu yang lain.”


disediakan oleh : Layla Sa'idah


Friday, 27 December 2013

KEMAMPUAN BERFIKIR MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN HAIWAN

   Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada di dalam diri, kita tidak akan mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan juga fikiran.

   Menurut falsafah, perbezaan manusia dengan haiwan itu tidak banyak. Oleh itu, daripada segi kemampuan berfikir, sesungguhnya manusia lebih unggul apabila dibandingkan dengan haiwan.

  Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang bahkan lebih buruk lagi.

 Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar yang dimiliki manusia berbanding makhluk lain ialah akal. Dengan akalnya, manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.

 Menusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan, dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.

  Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya.

  Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempitan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi  melakukan maksiat kepada Allah.

  Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahaman kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami  (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf, ayat 179).


  Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.


 

Sunday, 1 December 2013

QISAS

            


          Dari segi bahasa bererti persamaan dan keadilan ( al-musawah wa al-ta’dil). Manakala dari segi istilah pula ialah persamaan balasan terhadap penjenayah dengan balasan yang setimpal dengan perbuatannya.Dalam Kitab Al-Fiqhu ‘alal Mazahibil Aba’ah ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas,iaitu membunuh dibalas dengan bunuh ( hutang nyawa dibayar dengan nyawa ), menghilangkan salah satu dari anggota orang lain, atau melukakannya, atau mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukannya. Manakala menurut Kamus Dewan, qisas membawa maksud pembalasan terhadap sesuatu perbuatan yang telah dilakukan oleh seseorang sama ada kesalahan tersebut ringan atau berat. Setiap kesalahan ada pembalasan yang akan menghukum seseorang.

             Terdapat dua tujuan qisas dilaksanakan iaitu menjaga hak Allah dan hak mukalaf. Dari sudut yang lain pula ialah, bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan nyawa masyarakat di sekeliling. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghilangkan rasa perasaan sedih oleh keluarga si mati. Pada masa yang sama pula, ia bertujuan untuk menghilangkan rasa marah dan sifat dendam yang tersimpan kepada pembunuh oleh keluarga si mangsa. Ini adalah hak seseorang secara khusus.

           Hukuman qisas dalam kanun jenayah syariah ialah hukuman qisas adalah seperti hukuman hudud, iaitu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dengan berlandaskan nas-nas di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang melibatkan hilang nyawa seseorang manusia atau binasa tubuh badan mereka.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengqisas pada orang-orang yang dibunuh, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang diberi maaf oleh saudaranya, hendaklah mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah dia membayar diat dengan cara yang baik.”
                                                                                                            (Surah Al-Baqarah : 178)

        Qisas hanya boleh dilaksanakan apabila waris si bunuh menuntut keadilan. Mereka ada hak untuk menuntut qisas iaitu pembalasan yang sama kepada penjenayah atau memaafkannya dengan membayar denda (diyat) atau bebas kepada keluarga waris si mati.

         Namun begitu, ia tidak bermaksud penjenayah tersebut boleh membebaskan dirinya daripada hukuman kerana pihak yang berkuasa berhak mengenakan takzir memandangkan jenayah yang telah dilakukan adalah pencerobohan ke atas masyarakat sekeliling.  
Orang yang wajib dijatuhkan hukuman qisas adalah tertakluk di bawah kesalahan-kesalahan berikut iaitu :
a)      Orang yang membunuh manusia dengan sengaja.
b)      Orang yang menghilangkan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c)      Orang yang telah melukakan atau mencederakan anggota badan orang lain dengan sengaja.

HUKUMAN ORANG YANG MELAKUKAN PEMBUNUHAN DAN JENIS-JENIS PEMBUNUHAN.
      Mengikut peruntukkan yang telah disebutkan didalam kanun jenayah syariah ialah mereka yang telah melakukan pembunuhan wajib dikenakan ke atasnya hukuman qisas iaitu pembunuhan akan dibalas dengan hukuman bunuh. Hukuman ini adalah berlandaskan firman-firman Allah Taala seperti berikut :
            Firman Allah Taala :
ولكم في ألقصاص حيوة يأولى ألأ لبب لعلكم تتقون
     Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu  bertakwa.                                                                                                                                                                                                                    Surah Al-Baqarah : 179


JENIS-JENIS PEMBUNUHAN .
Ada 3 jenis jenayah pembunuhan yang melibatkan wajib hukuman qisas ialah :

QATL AL-‘AMD ( PEMBUNUHAN DENGAN SENGAJA)
Ø     Ialah seseorang yang telah melakukan pembunuhan ke atas yang laindengan menggunakan senjata yang tajam seperti pisau, pedang dan sebagainya lagi atau sesuatu benda atau perbuatan yang boleh menyebabkan sesuatu kematian seperti dihimpitnya dengan batu besar dan sebagainya. Maka hukumannya hendaklah dibalas bunuh kepada pembunuh tersebut.

QATL SYIBHI AL-‘AMD (PEMBUNUHAN YANG SERUPA DENGAN SENGAJA)
Ø  Ialah seseorang yang telah melakukan pembunuhan ke atas yang lain dengansengaja  menggunakan senjata tetapi si mangsa tidak mati. Contohnya pembunuh telah memukul si mangsa menggunakan batu tetapi si mangsa masih bernyawa. Maka hukumannya ialah hendaklah membayar denda (diyat) kepada keluarga mangsa.

QATL AL-‘AMD (PEMBUNUHAN YANG TIDAK SENGAJA)
Ø   Ialah perbuatan seseorang yang diharuskan baginya untuk melakukannya yang tidak sengaja ditujukan kepada orang lain. Contohnya ialah seorang pemburu hendak menembak binatang buruannya tetapi dengan tidak sengaja telah menembak manusia , lalu si mangsa telah mati disebabkan tembakkan yang tidak sengaja itu. Maka hukumannya ialah hendaklah membayar diyat (denda) kepada wali si mangsa.
Untuk melaksanakan hukuman qisas kepada penjenayah tersebut, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi iaitu :
                    i.            Kecederaan yang dialami mangsa adalah dengan sengaja, bukan tidak sengaja.
                  ii.          Bahagian-bahagian anggota yang ingin diqisaskan hendaklah sama dengan yang dicederakan ( dalam keadaan yang sama juga).
                iii.            Pelaksanaan qisas hendaklah dilakukan oleh orang yang mempunyai pengalaman dan mahir (pakar) untuk mengelakkan kesilapan.

SYARAT IKRAR DALAM KES QISAS.
        Ahli feqah telah sebulat suara menyatakan bahawa kesalahan qisas boleh dibuktikan dengan sekali pengakuan salah dan tidak ada kesahan yang menahannya daripada penarikan balik kerana pada hakikatnya pengakuan itu jelas berkaitan dengan hak asasi manusia. Justeru itu, statusnya sama seperti pengakuan yang salah yang berkaitan dengan harta.

SYARAT-SYARAT YANG MEWAJIBKAN QISAS.
        i.                          Pembunuh yang melakukan jenayah itu mestilah baligh ( mukallaf) dan berakal. Kanak-kanak atau orang gila tidak diwajibkan untuk dikenakan hukuman qisas kerana mereka tidak dibebankan oleh Allah untuk memikul dan menanggung sesuatu dosa.
      ii.            Orang yang membunuh itu bukan bapa atau ibu kepada orang yang dibunuh kerana tidak diwajibkan dilaksanakan hukuman qisas kepada ayah atau ibu yang telah membunuh anaknya berdasarkan dalil hadith Rasulullah yang telah diriwayatkan daripada Umar Ibnu Khattab iaitu :
Tidak boleh diqisaskan bapa disebabkan membunuh anaknya.
                                                                                                                        Riwayat Tarmizi

    iii.            Orang yang dibunuh itu hendaklah sama taraf darjat atau kurang tarafnya dengan yang orang yang membunuh. Maksud disini ialah ketika berlaku pembunuhan itu, si pembunuh dan orang yang dibunuh , kedua-duanya hendaklah beragama Islam dan sama-sama merdeka. Ia berdasarkan dalil hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ali Karamallah Wajdah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ;
Ingatlah !bahawa tidak dibunuh orang yang beriman dengan sebab membunuh orang kafir.
                                                Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaai dan Hakim

    iv.            Qisas hendaklah dilaksanakan dalam perkara-perkara yang bersamaan iaitu nyawa dengan nyawa, mencederakan anggota badan dengan mencederakan anggota badan, dan melukakan dengan melukakan. Hukuman ini adalah merujuk firman Allah S.W.T:
Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melaksanakan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
                                                                                                            Surah Al-Ma’idah : 45
      v.                           Qisas hendaklah dilaksanakan menurut yang telah dilakukan oleh orang yang membunuh, atau orang yang dilukai. Jika seseorang itu mencederakan atau melukakan seorang yang lain dengan batu atau pisau, maka qisasnya wajib dengan batu atau pisau juga dan sebagainya. Hukuman ini adalah berdasarkan firman Allah Taala:
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan) maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu.
                                                                                                Surah Al-Nahl: 126

    vi.            Pemangsa yang dibunuh hendaklah mendapat hak perlindungan nyawa sama ada orang Islam atau yang bukan Islam seperti kafir zimmi atau ma’ahad. Ini adalah berlandaskan perkataan Saidina Ali r.a
Dan tidaklah boleh dibunuh orang mukmin dengan sebab membunuh orang kafir, dan tidak boleh dibunuh juga orang kafir yang mengikat janji setia selama berlaku perjanjiannya itu.
                                                                        Riwayat Abu Daud dan Nasaai.

        Dalam kes pembunuhan, untuk mensabitkan penjenayah ke hukuman qisas, hendaklah tertakluk kepada beberapa bukti-bukti berikut :
a)      Iqrar iaitu pengakuan dari si pembunuh yang telah melakukan kes jenayah.
b)      Saksi dari dua orang lelaki yang adil.
Hukuman qisas boleh digugurkan berdasarkan salah satu daripada sebab-sebab berikut iaitu :
a)      Waris dari ahli keluarga yang telah dibunuh memaafkan segala kesalahan pembunuh.
b)      Kematian orang yang melakukan pembunuhan itu.

c)    Telah wujud perdamaian dan penyelesaian di antara si pembunuh dengan ahli waris orang yang dibunuh.

CATATAN ZIARAH TOKOH : PROF DR. MAT NOOR NAWAWI



30 September 2013 (Isnin)| 6.00pm-10.30pm

        Seperti yang dirancangkan pada minggu ini pimpinan PKPIM UNISEL akan mengadakan ziarah tokoh ke rumah Prof Dr. Mat Noor Nawawi, Dekan Pengajian Pasca Siswazah Universiti Selangor. Rumah beliau terletak  di Pinggir Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Beliau berasal daripada Pasir Mas Kelantan. Kemudian beliau telah menetap di Kuala Lumpur, sehinggalah sekarang sudah 40 tahun beliau di KL. Beliau mengambil Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya dan menyambung Master dan PHD di luar negara.

       Seramai 9 orang terlibat dalam ziarah pada kali ini. Kami mula bertolak daripada UNISEL Bestari Jaya sekitar pukul 6.00 petang. Sebelum ke rumah beliau kami singgah menunaikan solat Maghrib di Masjid Al-Ghufran yang terletak berhampiran dengan rumah beliau. Ketibaan kami di rumah Prof Mat Noor disambut dengan mesra oleh beliau. Pertemuan kami dimulakan dengan sesi taaruf. Kemudian diteruskan dengan sesi perkongsian oleh beliau mengenai latar belakang penglibatan beliau dengan jemaah. Antara yang menarik ialah beliau merupakan antara mahasiswa yang pertama terlibat dengan ABIM di awal penubuhan ABIM. Penglibatan beliau dalam ABIM bermula kerana beliau sering menemani abang beliau Ustaz Ghazali menghadir usrah dan pertemuan jemaah. Dari situ beliau sedikit demi sedikit mula terlibat dan bergerak aktif dalam gerakan jemaah.

           Selain itu, antara perkongsian beliau ialah cara pelaksanaan kaderisasi yang digunakan oleh beliau dan sahabat-sahabat sejemaah ketika mereka masih mahasiswa. Mereka menggunakan cara pendekatan dengan memberikan khidmat bantuan dan bimbingan kepada para pelajar baru yang masuk ke Universiti mereka dari segi bagaimana untuk mendapatkan kemudahan pengagkutan dan perjalanan kehidupanj di kampus. Sangat kagum mendengar cerita beliau, ketika beliau menuntut di UK beliau pernah keluar daripada rumah awal pagi pada musim sejuk untuk menyambut pelajar-pelajar baru daripada Malaysia di lapangan terbang. Tujuannya untuk mendekati dan membantu mereka. Mungkin inilah salah satu semangat yang perlu dicontohi oleh para ahli gerakan pada hari ini. Semangat untuk berkorban dan turun ke lapangan untuk membantu. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu dalam proses kaderisasi terutamanya di kampus.

         Prof Dr Nawawi juga menasihati agar setiap ahli gerakan harus cemerlang dalam akademik. Dalam menjalankan kerja-kerja dakwah di kampus mahasiswa juga harus melaksanakan tugasan sebagai seorang mahasiswa untuk menuntut ilmu. Perlu memanfaatkan masa semaksimanya dan perlu bijak membahagi masa antara dakwah dan belajar. Kecemerlangan akademik penting untuk membina kepercayaan masyarakat terhadap diri ahli gerakan.

            Di samping itu, beliau juga bercerita bahawa di zaman beliau bergerak dalam gerakan pernah terjadinya pertukaran posisi kepimpinan dimana presiden menjadi exco, ataupun ahli majlis tertinggi selepas tamat tempoh pelantikannya dan juga sebaliknya. Hal ini menunjukkan bahawa soal jawatan bukanlah menjadi isu dalam sesebuah gerakan tetapi kebersamaan dalam menggerakkan kerja-kerja dakwah lebih utama daripada jawatan tersebut.  

      Kesimpulannya, setiap ahli gerakan haruslah berjiwa besar dan komited dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah. Ahli gerakan juga harus bijak menyeimbangkan antara tugas menuntut ilmu dan melaksanakan kerja-kerja dakwah. Pertemuan ringkas bersama Prof memberikan satu inspirasi baru kepada kami dalam memperkemaskan lagi gerakan sebagai ahli jemaah.       




Disediakan oleh:
-Ummahatul Hamimah binti Yatim

SAIDINA ALI BIN ABU TALIB PEMUDA YANG BERANI


BIODATA SAIDINA ALI BIN ABU TALIB

Nama                                        :  Ali bin Abu Talib bin Abdul Mutalib
Keturunan                                :  Bani Hasyim
Tarikh Lahir                            :  10 tahun sebelum Nabi menjadi rasul 601 masihi
Tempat lahir                            :  Dalam kaabah di Mekah Al-Mukarramah
Jawatan                                   :   Khalifah ke-4 daripada Khalifah Ar-Rasyidin  
Hubungan                                :   Sepupu Nabi sebelah bapa      
Tarikh Menjadi Khalifah        :  Tahun 35 Hijrah bersamaan 655 Masihi
Tempoh Pemerintahan          :  4 tahun
Tarikh Wafat                           :  17 Ramadan tahun 41 Hijrah 661 Masihi
Sebab Kewafatan                    :  Dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim di Bandar Kufah
Gelaran                                    :  Abu Hasan / Abu Turab

SIFAT PERIBADI

•Bersikap adil 
•Bijaksana
•Berwawasan
•Pintar
•Berfikiran luas
•Berusaha mencari ilmu
•Berani menegakkan kebenaran
•Terbuka
•Taat mengerjakan suruhan ALLAH SWT
•Kreatif dan sanggup berkorban kerana ALLAH SWT

 KELUARGA RASULULLAH SAW

•Mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Rasulullah SAW
•Adalah sepupu dan menantu Rasulullah
•Sejak kecil tinggal bersama Rasulullah dan dididik oleh Baginda
•Banyak mewarisi keperbadian dan akhlak Rasulullah
•Sangat mencintai dan menyayangi Rasulullah

 KANAK-KANAK PERTAMA MEMELUK ISLAM

•Memeluk Islam ketika berumur 10 tahun
•Kanak-kanak pertama memeluk Islam
•Terkenal dengan panggilan ’Karramallahu Wajhah’
  bermaksud ALLAH SWT memuliakan wajahnya kerana
  beliau tidak pernah menyembah berhala
•Tidk pernah dikotori keburukan jahiliah
•Mentaati dan tidak pernah membantah Rasulullah
•Salah seorang 10 sahabat dijamin masuk syurga

SEORANG CENDIKIAWAN TERULUNG

•Terkenal dengan ilmu pelbagai ilmu pengetahuan dalam
  pelbagai bidang seperti bidang sastera, ilmu hisab dan kehakiman
•Sehingga digelar ‘gedung ilmu’

PEMUDA YANG BERANI 

•Terkenal dengan sifat gagah berani di medan perang
•Menggunakan pedangnya bernama ‘Zulfakar’ dan
   menyertai hampir semua peperangan menentang
   musyrikin kecuali peperangan Tabuk.
•Semasa peperangan khandak telah dicabar berlawan
   satu sama satu dengan pahlawan Quraisy bernama
   Amru bin Wahid.
 •Berjaya menewaskannya walaupun Amru lebih berpengalaman.

PEMERINTAH YANG ADIL DAN KREATIF

•Dilantik oleh Rasulullsh menjadi hakim di Yaman.
•Seorang hakim yang adil dan pentadbir yang kreatif serta tabah.
•Melengkapkan angkatan tentera berkuda Islam.
•Menubuhkan pasukan polis diberi nama ’As-syurtah’
•Menubuhkan tentera berjalan kaki dan badan perisik yang belum ditubuhkan oleh Khalifah sebelumnya.

PENGORBANAN DAN JASA SAIDINA ALI BIN ABU TALIB

  •Jurutulis Perjanjian Hudaibiah.
  •Mengetuai misi dakwah di Hamadan (Iraq).
  •Mengembangkan ilmu Islam.
  •Pensihat dalam bidang kehakiman kepada
    ketiga-tiga khalifah Ar-Rasyidin.
  •Menerima jawatan khalifah dalam keadaan huru-hara
  •Menjadi hakim di Yaman.
  •Penulis wahyu.
  •Berusaha menyatupadukan umat Islam yang sedang berpecah.

SEBAB BERLAKUNYA PEPERANGAN DI ZAMAN PEMERINTAHAN

•Berpunca daripada perancangan jahat kaum munafikin yang diketuai oleh Abdullah bin Saba’
•Mereka berusaha menggagalkan setiap perdamaian yang diketuai oleh Saidina Ali
•Contoh:dalam perang Jamal,tentera Saidina Ali mencapai kata sepakat dengan kumpulan Saidina Talhah dan Saidina Zubair untuk berdamai.Pada malamnya kaum munafikin membuat perancangan jahat untuk mencetuskan peperangan antara kedua belah pihak