Sunday, 1 December 2013

HADITH 42

Terjemahannya:
         Dari Anas radiyallahu ‘anh katanya: Aku dengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Allah telah berfirman: Hai Anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli. Hai Anak Adam! Kalau telah sampai sekelian dosa engkau ke awan langit kemudian itu engkau memohon keampunan Ku, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai Anak Adam! Sesungguhnya kalau engkau datang kepada Ku dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi (ini) kemudian itu engkau menemui Aku pada hal tiada engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi)

Huraiannya:
                Mengenai hadis 42 ini, Allah ada berfirman: “Barangsiapa menghampiri kepadaKu sejengkal, Aku hampiri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa menghampiri kepadaKu sehasta, Aku hampiri kepadanya sedepa. Dan barangsiapa yang datang kepadaKu dengan berjalan, Aku datang kepadanya dengan berlari. Dan siapa barangsiapa menemui Aku dengan kejahatan yang memenuhi bumi, pada hal ia tiada sekutukan Aku dengan sesuatu, Aku menemui dia dengan keampunan yang memenuhi bumi.”

              Ini ialah hadis Qudsi yang menilai salah satu sifat Allah yang maha Pengasih dan Penyayang terhadap hambaNya yang berdosa, yang mengharapkan keampunanNya. Ini jelas membuktikan bahawa orang-orang yang berdosa tetaplah hamba-hambaNya, dan keampunanNya akan berlaku terhadap mereka. Manusia yang bersalah boleh berdoa supaya kesalahannya dapat di ampunkan oleh Allah dan Allah tidak peduli tentang banyaknya kesalahan itu, sekiranya ada keinginannya yang benar untuk diampuninya. Seseorang boleh memohon keampunan di atas dosanya dengan berdoa, dan doa hendaklah di sertakan dengan harapan iaitu harapan yang baik sangkaan kepada Allah supaya Allah terima doa kita itu.


             Dan doa yang sangat mustahak bagi seseorang ialah doa supaya diampuni dosanya atau supaya dipelihara dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, dan ia berharap dengan seseungguhnya bahawa doanya akan di terima oleh Allah. Ini kerana Allah tidak pernah menghampakan doa dan harapan dari hamba-hambaNya pada bila-bila masa pun asalkan hamba-hambanNya menyedari hakikat dirinya dan menaruh sangkaan baik kepadaNya.


Disediakan oleh:
-Muhammad Harris Fadhilah bin Johari
(Diploma Pendidikan Pengajian Pra-Sekolah)

No comments:

Post a Comment