Friday, 27 December 2013

KEMAMPUAN BERFIKIR MEMBEZAKAN MANUSIA DENGAN HAIWAN

   Apabila kita memahami hakikat kemanusiaan yang ada di dalam diri, kita tidak akan mungkin melakukan perbuatan seperti perangai haiwan. Kita berusaha sekuat tenaga supaya bertindak berlandaskan akal dan juga fikiran.

   Menurut falsafah, perbezaan manusia dengan haiwan itu tidak banyak. Oleh itu, daripada segi kemampuan berfikir, sesungguhnya manusia lebih unggul apabila dibandingkan dengan haiwan.

  Apabila kemampuan ini tidak digunakan dengan baik, hilanglah keunggulan yang ada pada diri dan akhirnya kita seperti binatang bahkan lebih buruk lagi.

 Allah menganugerahkan pelbagai kelebihan kepada manusia. Anugerah terbesar yang dimiliki manusia berbanding makhluk lain ialah akal. Dengan akalnya, manusia mampu mengambil pengajaran dan memanfaatkan semua kemudahan yang Allah ciptakan di dunia.

 Menusia yang mampu menakluk semua makhluk di dunia ini. Allah memberikan pendengaran, penglihatan, dan perasaan. Semua itu adalah modal supaya manusia mampu menduduki darjat yang paling tinggi di sisi Allah.

  Keunggulan manusia melebihi jin dan syaitan. Oleh itu, janganlah sekali-kali merendahkan diri kita sehingga menyerupai binatang iaitu makhluk yang bergerak dan bertindak atas rasa dan sifat binatangnya.

  Binatang, sehariannya hanya sibuk memenuhi keperluan makan, minum dan syahwat. Tidak ada tujuan lain. Pada sebelah pihak lain, syaitan menggunakan seluruh kesempitan diberikan Allah bagi menyesatkan manusia supaya mereka mempunyai teman di neraka. Seluruh waktu syaitan digunakan bagi  melakukan maksiat kepada Allah.

  Allah menjelaskan dalam mafhumnya yang bermaksud “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka jahaman kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan bagi memahami  (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf, ayat 179).


  Jagalah imej sebagai manusia. Gunakan kemampuan berfikir. Gunakan akal supaya kita mampu menjadi makhluk paling mulia. Apabila tidak mampu menjaga imej sebagai manusia pasti kemuliaan yang ada pada diri kita jatuh dan berubah menjadi hina.


 

No comments:

Post a Comment