Sunday, 1 December 2013

QISAS

            


          Dari segi bahasa bererti persamaan dan keadilan ( al-musawah wa al-ta’dil). Manakala dari segi istilah pula ialah persamaan balasan terhadap penjenayah dengan balasan yang setimpal dengan perbuatannya.Dalam Kitab Al-Fiqhu ‘alal Mazahibil Aba’ah ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas,iaitu membunuh dibalas dengan bunuh ( hutang nyawa dibayar dengan nyawa ), menghilangkan salah satu dari anggota orang lain, atau melukakannya, atau mencederakannya dibalas dengan hukuman mengikut jenis kesalahan yang dilakukannya. Manakala menurut Kamus Dewan, qisas membawa maksud pembalasan terhadap sesuatu perbuatan yang telah dilakukan oleh seseorang sama ada kesalahan tersebut ringan atau berat. Setiap kesalahan ada pembalasan yang akan menghukum seseorang.

             Terdapat dua tujuan qisas dilaksanakan iaitu menjaga hak Allah dan hak mukalaf. Dari sudut yang lain pula ialah, bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan nyawa masyarakat di sekeliling. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghilangkan rasa perasaan sedih oleh keluarga si mati. Pada masa yang sama pula, ia bertujuan untuk menghilangkan rasa marah dan sifat dendam yang tersimpan kepada pembunuh oleh keluarga si mangsa. Ini adalah hak seseorang secara khusus.

           Hukuman qisas dalam kanun jenayah syariah ialah hukuman qisas adalah seperti hukuman hudud, iaitu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dengan berlandaskan nas-nas di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang melibatkan hilang nyawa seseorang manusia atau binasa tubuh badan mereka.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu mengqisas pada orang-orang yang dibunuh, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang diberi maaf oleh saudaranya, hendaklah mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah dia membayar diat dengan cara yang baik.”
                                                                                                            (Surah Al-Baqarah : 178)

        Qisas hanya boleh dilaksanakan apabila waris si bunuh menuntut keadilan. Mereka ada hak untuk menuntut qisas iaitu pembalasan yang sama kepada penjenayah atau memaafkannya dengan membayar denda (diyat) atau bebas kepada keluarga waris si mati.

         Namun begitu, ia tidak bermaksud penjenayah tersebut boleh membebaskan dirinya daripada hukuman kerana pihak yang berkuasa berhak mengenakan takzir memandangkan jenayah yang telah dilakukan adalah pencerobohan ke atas masyarakat sekeliling.  
Orang yang wajib dijatuhkan hukuman qisas adalah tertakluk di bawah kesalahan-kesalahan berikut iaitu :
a)      Orang yang membunuh manusia dengan sengaja.
b)      Orang yang menghilangkan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja.
c)      Orang yang telah melukakan atau mencederakan anggota badan orang lain dengan sengaja.

HUKUMAN ORANG YANG MELAKUKAN PEMBUNUHAN DAN JENIS-JENIS PEMBUNUHAN.
      Mengikut peruntukkan yang telah disebutkan didalam kanun jenayah syariah ialah mereka yang telah melakukan pembunuhan wajib dikenakan ke atasnya hukuman qisas iaitu pembunuhan akan dibalas dengan hukuman bunuh. Hukuman ini adalah berlandaskan firman-firman Allah Taala seperti berikut :
            Firman Allah Taala :
ولكم في ألقصاص حيوة يأولى ألأ لبب لعلكم تتقون
     Dan di dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu  bertakwa.                                                                                                                                                                                                                    Surah Al-Baqarah : 179


JENIS-JENIS PEMBUNUHAN .
Ada 3 jenis jenayah pembunuhan yang melibatkan wajib hukuman qisas ialah :

QATL AL-‘AMD ( PEMBUNUHAN DENGAN SENGAJA)
Ø     Ialah seseorang yang telah melakukan pembunuhan ke atas yang laindengan menggunakan senjata yang tajam seperti pisau, pedang dan sebagainya lagi atau sesuatu benda atau perbuatan yang boleh menyebabkan sesuatu kematian seperti dihimpitnya dengan batu besar dan sebagainya. Maka hukumannya hendaklah dibalas bunuh kepada pembunuh tersebut.

QATL SYIBHI AL-‘AMD (PEMBUNUHAN YANG SERUPA DENGAN SENGAJA)
Ø  Ialah seseorang yang telah melakukan pembunuhan ke atas yang lain dengansengaja  menggunakan senjata tetapi si mangsa tidak mati. Contohnya pembunuh telah memukul si mangsa menggunakan batu tetapi si mangsa masih bernyawa. Maka hukumannya ialah hendaklah membayar denda (diyat) kepada keluarga mangsa.

QATL AL-‘AMD (PEMBUNUHAN YANG TIDAK SENGAJA)
Ø   Ialah perbuatan seseorang yang diharuskan baginya untuk melakukannya yang tidak sengaja ditujukan kepada orang lain. Contohnya ialah seorang pemburu hendak menembak binatang buruannya tetapi dengan tidak sengaja telah menembak manusia , lalu si mangsa telah mati disebabkan tembakkan yang tidak sengaja itu. Maka hukumannya ialah hendaklah membayar diyat (denda) kepada wali si mangsa.
Untuk melaksanakan hukuman qisas kepada penjenayah tersebut, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi iaitu :
                    i.            Kecederaan yang dialami mangsa adalah dengan sengaja, bukan tidak sengaja.
                  ii.          Bahagian-bahagian anggota yang ingin diqisaskan hendaklah sama dengan yang dicederakan ( dalam keadaan yang sama juga).
                iii.            Pelaksanaan qisas hendaklah dilakukan oleh orang yang mempunyai pengalaman dan mahir (pakar) untuk mengelakkan kesilapan.

SYARAT IKRAR DALAM KES QISAS.
        Ahli feqah telah sebulat suara menyatakan bahawa kesalahan qisas boleh dibuktikan dengan sekali pengakuan salah dan tidak ada kesahan yang menahannya daripada penarikan balik kerana pada hakikatnya pengakuan itu jelas berkaitan dengan hak asasi manusia. Justeru itu, statusnya sama seperti pengakuan yang salah yang berkaitan dengan harta.

SYARAT-SYARAT YANG MEWAJIBKAN QISAS.
        i.                          Pembunuh yang melakukan jenayah itu mestilah baligh ( mukallaf) dan berakal. Kanak-kanak atau orang gila tidak diwajibkan untuk dikenakan hukuman qisas kerana mereka tidak dibebankan oleh Allah untuk memikul dan menanggung sesuatu dosa.
      ii.            Orang yang membunuh itu bukan bapa atau ibu kepada orang yang dibunuh kerana tidak diwajibkan dilaksanakan hukuman qisas kepada ayah atau ibu yang telah membunuh anaknya berdasarkan dalil hadith Rasulullah yang telah diriwayatkan daripada Umar Ibnu Khattab iaitu :
Tidak boleh diqisaskan bapa disebabkan membunuh anaknya.
                                                                                                                        Riwayat Tarmizi

    iii.            Orang yang dibunuh itu hendaklah sama taraf darjat atau kurang tarafnya dengan yang orang yang membunuh. Maksud disini ialah ketika berlaku pembunuhan itu, si pembunuh dan orang yang dibunuh , kedua-duanya hendaklah beragama Islam dan sama-sama merdeka. Ia berdasarkan dalil hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ali Karamallah Wajdah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ;
Ingatlah !bahawa tidak dibunuh orang yang beriman dengan sebab membunuh orang kafir.
                                                Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasaai dan Hakim

    iv.            Qisas hendaklah dilaksanakan dalam perkara-perkara yang bersamaan iaitu nyawa dengan nyawa, mencederakan anggota badan dengan mencederakan anggota badan, dan melukakan dengan melukakan. Hukuman ini adalah merujuk firman Allah S.W.T:
Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dengan telinga, dan gigi dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melaksanakan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
                                                                                                            Surah Al-Ma’idah : 45
      v.                           Qisas hendaklah dilaksanakan menurut yang telah dilakukan oleh orang yang membunuh, atau orang yang dilukai. Jika seseorang itu mencederakan atau melukakan seorang yang lain dengan batu atau pisau, maka qisasnya wajib dengan batu atau pisau juga dan sebagainya. Hukuman ini adalah berdasarkan firman Allah Taala:
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan) maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu.
                                                                                                Surah Al-Nahl: 126

    vi.            Pemangsa yang dibunuh hendaklah mendapat hak perlindungan nyawa sama ada orang Islam atau yang bukan Islam seperti kafir zimmi atau ma’ahad. Ini adalah berlandaskan perkataan Saidina Ali r.a
Dan tidaklah boleh dibunuh orang mukmin dengan sebab membunuh orang kafir, dan tidak boleh dibunuh juga orang kafir yang mengikat janji setia selama berlaku perjanjiannya itu.
                                                                        Riwayat Abu Daud dan Nasaai.

        Dalam kes pembunuhan, untuk mensabitkan penjenayah ke hukuman qisas, hendaklah tertakluk kepada beberapa bukti-bukti berikut :
a)      Iqrar iaitu pengakuan dari si pembunuh yang telah melakukan kes jenayah.
b)      Saksi dari dua orang lelaki yang adil.
Hukuman qisas boleh digugurkan berdasarkan salah satu daripada sebab-sebab berikut iaitu :
a)      Waris dari ahli keluarga yang telah dibunuh memaafkan segala kesalahan pembunuh.
b)      Kematian orang yang melakukan pembunuhan itu.

c)    Telah wujud perdamaian dan penyelesaian di antara si pembunuh dengan ahli waris orang yang dibunuh.

No comments:

Post a Comment