Thursday, 19 June 2014


UCAPAN DASAR BERSEMPENA
MUKTAMAR SANAWI PKPIM UNISEL KALI KE-8
Oleh : MUHAMMAD FAKHRUL AMIRUDDIN BIN HAMDAN
DIPLOMA TEKNOLOGI INDUSTRI, TAHUN AKHIR

الحمدللهر بالعالمين
والصلاة والسل امعليخاتما لأنبياْ والمرسلين
Bissmillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang dihormati Saudara Pengerusi
Yang Berbahagia ahli-ahli MajlisSyura PKPIM UNISEL
Barisan Kepimpinan PKPIM UNISEL 2013/2014
Para muktamirin dan muktamirat Sekalian.

Setinggi – tinggi kalimah tahmiddan syukur, saya mewakili seluruh saf kepimpinan PKPIM UNISEL mengalu-alukan kehadiran seluruh muktamirin dan muktamirat ke Majlis Pehimpunan Agung Tahunan PKPIM UNISEL  Kali Ke-8 pada tahun ini. Muktamar Agung Tahunan sinonim dengan medan muhasabah gerakan, gelanggang kritikan membina serta hala tuju perancangan sepenggal organisasi. Kita perlu yakin bahawa muktamar memainkan peranan spiritual iaitu mampu memperbaharui komitmen, semangat juang dan mendekatkan kita dengan insan yang ikhlas dalam perjuangan.Oleh itu, muktamirin dan muktamirat sekalian perlulah menghadirkan rasa ikhlas dalam jiwa kita hari ini untuk sama-sama mengkoreksi (memperbaiki) agenda gerakan dan memperkasakannya pada masa akan datang.

Tema ucapan dasar pada muktamar kali ini ialah Kemantapan Generasi Muda Dalam Mendepani Cabaran. Frasa yang sering kali di dengari adalah ‘’Belia Dan Pelajar hari ini adalah Pemimpin di Hari Kemudian’’. Ia merupakan suatu dorongan motivasi bagi menyediakan kepimpinan di setiap peringkat khususnya universiti. Perancangan bagi system latihan persediaan kepimpinan itu seharusnya di teliti semula serta harus dilaksanakan dengan berkesan. Dalam rangkuman semasa, mahasiswa juga sering kali dikaitkan dengan generasi muda yang mempunyai daya kepimpinannya yang tersendiri. Tugasnya bukan saja memikir tetapi menggerakkan isu-isu yang melingkari kebajikan pelajar mahupun nasional sehingga menjadi suara kepada masyarakat. Seharusnya kita sebagai gerakan pelajar harus peka kepada perkembangan yang berlaku di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

KEPELBAGAIAN ILMU SEBAGAI PERSEDIAAN TURUN KE LAPANGAN

Merenung kembali sejarah hasil dari produk PKPIM, ramai dari kalangan ahli yakini menjadi tokoh masyarakat, ahli akademik, ilmuan, pegawai kerajaan serta aktivis masyarakat. Semua itu bukan hanya kebetulan, sebaliknya ia merupakan proses pembangunan intelektual, pemantapan amalan kerohanian, aktivisme yang terus konsisten dan penglibatan dalam isu nasional mahupun antarabangsa. Perbincangan serta diskusi atau elemen-elemen penting harus dipergiatkan bagi mempersiapkan generasi muda yang akan turun kelapangan bersama masyarakat seperti yang pernah diungkapan generasi muda atau mahasiswa sebagai ‘’Agen Perubah’’. Perihatin dan iltizam dengan isu semasa ungkapan yang harus diberi perhatian serta digerakan dalam usaha pemantapan generasi muda dan penekanaan ini juga digunakan oleh PKPIM sebagai budaya kepada kesemua ahli. Dalam Majalah Varsiti, Universiti Malaya pada tanggal 1977/78, merupakan majalah rasmi mahasiswa Universiti Malaya mencatatkan sebuah kata-kata iaitu ‘’Mahasiswa adalah anak masyarakat, maka pulanglah bertemu ibubapa untuk berbakti”. Pak Nasir pernah mengungkapkan ‘’Seorang pemimpin umat Islam mesti merasai nadi denyutan umat, sekiranya umat terasa kesakitan, maka pemimpin juga perlu merasai kesakitannya’’. Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan :-
…’’Barang Siapa Yang Tidak Prihatin Tentang Permasalahan, Perkembangan Dan Perubahan Umat, Maka Dia Bukanlah  Di  Kalangan Kami’’…

PILIHANRAYA KAMPUS MEMBENTUK IDEALISME MAHASISWA

Pilihanraya kampus (PRK) merupakan suatu sesi pemilihan barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pemilihan yang diadakan sekali dalam setahun ini umpama suatu perayaan kepada mahasiswa untuk melihat sejauh mana wibawanya dan berkualiti calon yang bertanding tidak kira daripada pihak yang dipilih atau secara sukarela untuk dijadikan pemimpin mereka. Ketika ini, sudah pasti proksi yang bertanding sibuk untuk menamakan calon-calon yang bakal dipertandingkan untuk mewakili mereka dalam memenangi hati bakal pengundi mereka. Pelbagai watak yang ditonjolkan serta banyak juga watak-watak yang tertonjol tika mendekati para pengundinya. Mahasiswa adalah insan yang terdidik dan kaya secara akademik dan harus juga peka terhadap persekitaranya. Kualiti semula jadi dalam diri mahasiswa ini harus dikekalkan agar identity mahasiswa bitara terus disegani oleh masyarakat sebagai insan yang berilmu. Oleh itu, politik kampus harus diwarnai dengan perdebatan idea dan pandangan yang berasaskan ilmu yang benar.

Memetik mutiara kata Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, bahawa mahasiswa harus mempunyai kemampuan sebagai human transformer kepada mahasiswa di dalam kampus mahupun masyarakat sekitarnya. Universiti harus menjadi tempat lahirnya pemimpin yang bercita-cita tinggi. Manifesto yang dicipta dan dirangka dengan pencambahan idea yang kritis perlu melebihi isu memperjuangkan kebajikan pelajar. Isu sosio-masyarakat harus juga dimainkan oleh para calon yang bertanding. Mahasiswa seharusnya memainkan peranan mereka sebagai the conscience of the majority bagi membalas kepercayaan dan sanjungan tinggi masyarakat terhadap mereka selama ini.

PENGORBANAN DAN KESUNGGUHAN

Bukanlah suatu yang normal untuk menyembelih seorang manusia, apatah lagi anak sendiri.Tika Nabi Ibrahim a.s diperintahkan untuk menyembelih Ismail a.s, baginda ditanya sesuatu oleh anaknya, “Wahai bapaku, adakah ini merupakan wahyu dan perintah daripada Allah. Jika ya, teruskanlah hasrat tersebut atas sebab cinta dan ketaatan kita terhadap Allah”. Juga, bukanlah suatu yang normal apabila si anak merelakan dirinya disembelih bapanya sendiri. Ini merupakan suatu peristiwa agong yang penting dalam sejarah ketamadunan manusia sepanjang zaman. Pengorbanan dan kesungguhan mereka merupakan manifestasi keimanan dan ketaatan terhadap perintah Allah. Akhirnya, setelah terbukti dan teruji akan keimanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.s, Allah menggantikan sembelihan yang sepatutnya iaitu Ismail a.s. Maka tidak hairanlah mengapa cucu cicit keturunan mereka akhirnya melahirkan insan Agong, Nabi Muhamad saw. Nabi Muhammad s.a.w mewarisi kesungguhan dan sifat pengorbanan moyang-moyangnya, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Kemuliaan Baginda adalah kurniaan Allah dan juga kerana kesungguhannya.

Jika ditanya soal pergorbanan yang sudah kita lakukan, apakah tidak terlintas di fikiran bahawa sangat sedikit pengorbanan dan kesungguhan yang kita lakukan pada hari ini. Bukan sehingga terkorban diri. Jika mahu kemana-mana yang harus di ingatkan dan yang paling utama ialah soal tiada kenderaan mahupun tiada wang, jika di dahulukan wangnya pasti mahu resitnya juga agar menjadi bukti. Akhir kata, buat rakan seperjuangan nurkilan sajak ‘’Hidup Beradab’’:-

Sedarlah makhluk bernama Insan,
Engkau diberi pelbagai kurniaan,
Akal dan nafsu sentiasa berlawan,
Hati dan rasa menjadi kekuatan,
Mengapa engkau hidup tidak berpedoman?

Panduan diberi pedoman ditunjuki,
Katanya umat yang paling mulia diantara semuanya,
Tapi mengapa hal seremeh itu engkau tidak endahkan?
Bukankah ia sebahagian dari cerminan jiwa dan budi?
Serta gambaran hati dan sanubari yang bersemat dalam diri?

Kecantikan serta kebersihan,
Itu amalan bernilai erti,
Mudah dikata tapi sukar dilaksana,
Tapi janganlah sampai engkau abaikan,
Kerna ia mencemar keperibadian,
Dan juga Agama Panduan,

Orang menilai mengikut pandangan,
Bukannya pada hakikat kejadian,
Serta juga bukan pada Kitab Panduan,
Sedarlah diri penuhi amanah yang diberi,
Tunaikan hak laksanakan janji,

Semoga hidup engkau diberkati...