MEMBONGKAR
SISI PSIKOLOGI KAUM MUNAFIQ (63:5-8)
Berkata Syeikh Mohamad Ali as-Sobuni
di dalam “Sofwatu at-Tafasir”, “Nifaq (kemunafiqan) tidak dikenal ketika
marhalah Makkiyah, tetapi mula dikenal ketika marhalah Madaniyah (selepas
penghijrahan Nabi ke Yathrib) iaitu ketika Islam mula bertapak kukuh dan
bertambah jumlah penganutnya.”
Sungguhpun
surah “Al-Munafiqun” mendedahkan kepada kita tokoh antogonis bernama Abdullah
bin Ubai, pengajaran ayat di dalam surah ini masih bersifat umum. Sebenarnya
hampir setiap surah Madaniyah, Allah mendedahkan tembelang mereka yang berhati
busuk, kerana orang munafiq suka berpura-pura, pada lahirnya mengaku Islam dan
beriman sedang batinnya tetap kufur yang disembunyikan. Hal ini sebagaimana
yang dijelaskan dalam beberapa fasal, antara yang dapat disenaraikan :
- Surah Al-Baqarah ayat 8 hingga 20 : Golongan munafiq.
- Surah Al-Baqarah ayat 204 hingga 210 : Perbuatan orang-orang munafiq.
- Surah Ali-Imran ayat 165 hingga 168 : Beberapa sifat orang munafik.
- Surah An-Nisa’ ayat 137 hingga 147 : Beberapa keburukan orang munafiq.
- Surah At-Taubah ayat 62 hingga 66 : Tuduhan orang munafiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
- Surah At-Taubah ayat 67 hingga 70 : Hasutan-hasutan orang munafiq dan ancaman Allah terhadap mereka.
- Surah At-Taubah ayat 75 hingga 78 : Pengakuan orang munafiq tidak dapat dipercayai.
- Surah At-Taubah ayat 79 hingga 80 : Kemunafiqan adalah dosa yang tidak diampuni Allah.
- Surah At-Taubah ayat 84 hingga 85 : Larangan mensolatkan jenazah orang munafiq.
- Surah At-Taubah ayat 86 hingga 90 : Keengganan orang munafiq untuk berjihad dan pahala orang yang berjihad.
- Surah Muhammad ayat 20 hingga 30 : Ancaman terhadap orang-orang munafiq.
- Surah Al-Munafiqun ayat 1 hingga 8 : Sifat-sifat orang munafiq.
Surah “Al-Munafiqun” membataskan hanya pada tema “munafiq”
kecuali ayat 9, 10 dan 11 yang menutup surah ini sebagai kesimpulan agar
orang-orang yang beriman tidak terjebak dengan gejala nifaq, yang rata-ratanya
berpunca daripada sikap rakus, tamak dan lalai dengan perintah Allah. Ini
kerana, gerakan kemunafiqan telah banyak mengganggu kelancaran dakwah baginda
s.a.w, lantaran sikap mereka yang sering melakukan makar pengkhianatan di
tengah-tengah kehidupan jamaah orang beriman.
“Dan
apabila dikatakan kepada mereka; ‘Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta
ampun (kepada Allah) untuk kamu’, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan
kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka
berlaku sombong angkuh.”
(Al-Munafiqun:5)
Para mufassirin mengatakan selepas
surah ini diturunkan, maka sebahagian kerabat Abdullah bin Ubay datang
menemuinya serta menyedarkan bahawa surah ini diturunkan berkenaan sikapnya.
Mereka berkata kepada Abdullah bin Ubay, “Temuilah Nabi Muhammad s.a.w dan
akuilah dosamu agar Rasulullah meminta daripada Allah agar dosamu diampunkan.”
Lantas seruan mereka disindir Abdullah
bin Ubay;
“Sesungguhnya
kamu telah memujukku beriman, aku pun beriman. Kamu memujukku memberikan zakat harta,
aku pun menunaikannya. Tidak ada lagi yang tertinggal (segala perintah kamu
telah dilaksana) melainkan kamu suruh supaya aku sujud kepada Muhammad!”
Kemudian Allah berfirman;
“(Tiada
faedahnya) kepada mereka (kaum munafiq), sama ada engkau meminta ampun untuk
mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan
mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada
kaum yang fasik.”
(Al-Munafiqun:6)
Ibnu Ishak memperincikan lagi kisah
kemunafiqan Abdullah bi Ubay, ketika kembalinya tentera Islam daripada
peperangan Mustalaq. Dalam perjalanan menuju Madinah, orang ramai menyerbu
kawasan air di Al-Muraisi’ di perairan Bani Mustalaq di daerah Qadid. Keadaan
sesak di sana menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara dua orang lelaki
bernama Jahjah ibn Usaid, orang suruhan Umar al Khattab r.a dengan salah
seorang suku kabilah Juhainah daripada kaum Ansar iaitu Sinan al-Juhani, yang
bersekutu dengan kabilah Abdullah bin Ubay.
Tatkala mereka sedang bergaduh, Sinan
al-Juhani berteriak meminta pertolongan kaum Ansar, “Wahai kaum Ansar, bantulah
aku”. Mendengar teriakan tersebut lalu Jahjah turut melaungkan sentiment
perkauman yang sama dengan meminta pertolongan kaum Muhajirin.
Kejadian ini sampai ke pengetahuan
Abdullah bin Ubay yang pada ketika itu bersama sekumpulan orang-orangnya
termasuklah Zaid bin Arqam. Kata Abdullah bin Ubay, “Sudahlah mereka ketepikan
kita setelah berasak-asak di negeri kita, mereka tidak ubah seperti melepas
anjing tersepit. Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang
mulia akan menghalau keluar golongan yang hina.”
Kemudian berkata lagi, “Inilah akibat
tindakan kamu sendiri yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu,
kemudian berkongsi harta pula dengan mereka. Demi Allah sekiranya di hari ini
kamu tidak menyedekahkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka akan berpindah ke
negeri lain.”
Allah kembali menempelak perkataan
Abdullah bin Ubay;
“Mereka
mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan
kaum Muhajirin); ‘Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang
bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)’. Padahal bagi
Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapa yang dapat memberi
atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi
orang-orang yang munafiq itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).”
(Al-Munafiqun:7)
Ugutan hina yang disuarakan Abdullah
bin Ubay itu dilaporkan Zaid bin Arqam r.a kepada bapa saudaranya sehinggalah
diketahui oleh baginda Nabi s.a.w. Lalu Umar al-Khattab meminta izin Rasulullah
s.a.w agar memerintahkan Ubadah bin Bishr memenggal kepala Abdullah bin Ubay.
Tegas Rasulullah s.a.w;
“Bagaimana wahai Umar, jika nanti
orang akan bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri?”
Untuk mengelakkan para sahabat terus
bercakap-cakap mengenai niat busuk Abdullah bin Ubay itu, Rasulullah
mengarahkan pasukan tenteranya melakukan perjalanan luar biasa kembali ke
Madinah. Mereka berjalan sepenuh hari dari pagi hingga lewat ke petang, dari
malam hingga ke pagi hari, dan hanya berhenti untuk menunaikan solat. Ketika
itulah mereka terasa lapang, mereka keletihan dan terus tertidur maka tiada
masa para sahabat berfikir tentang konspirasi jahat Abdullah bin Ubay.
Di saat rehat itulah Rasulullah s.a.w
mengambil peluang bertanya kepada Usaid ibn Khudair r.a, anak kepada Khudair
al-Kata’ib seorang pahlawan terkenal suku kaum ‘Aus, mengenai perancangan
Abdullah bin Ubay. Jawab Usaid;
“Wahai
Rasulallah berlembutlah dengannya (Abdullah bin Ubay), demi Allah yang telah
mentaqdirkan tuan Rasul kami, dan sesungguhnya pengikut Abdullah bin Ubay telah
mengatur kemewahan (batu permata) untuk dikalungkan kepadanya (sebelum
kedatangan Rasul). Lantaran itu, dia memandang kedatangan baginda Rasulullah
s.a.w sebagai perampas haknya sebagai raja.”
Pendirian Rasulullah s.a.w ketika
mendengar penjelasan Usaid ibn Khudair r.a adalah sebagaimana yang digambarkan
dalam firman Allah Taala;
“Tiada kebaikan daripada bisikan
(perkataan manusia itu) kecuali seruan untuk bersedeqah, perintah melakukan
perkara kebaikan ataupun perbaikan sesama manusia (mendamaikan manusia yang
berselisih).”
(An-Nisa’:114)
Abdullah bin Ubay menyedari bahawa
rancangan busuknya itu telah sampai ke pengetahuan Nabi. Ketika perjalanan
berbaki hampir ke Madinah, Abdullah bin Ubay berjalan bersama Nabi dan
bersumpah bahawa dia tidak pernah berbicara seperti yang dilaporkan oleh Zaid
bin Arqam. Rasulullah mengiyakan penjelasan tersebut dan berhujjah barangkali
Zaid bin Arqam tersalah dengar.
Keputusan yang diambil Rasulullah
menyebabkan Zaid bin Arqam menjadi resah sehinggalah kemudianmya Allah
menurunkan surah Al-Munafiqun. Ibnu Ishak menjelaskan ketika surah ini
diturunkan Rasulullah s.a.w menunjukkan jari ke telinga Zaid bin Arqam. Sabda
Rasulullah;
“Inilah
orangnya yang memenuhi amanah kepada Allah dengan telinganya.”
Sayyid Qutb membahaskan ayat ini bahawa
arahan Abdullah bin Ubai di sini ada persamaannya dengan apa yang dilakukan
oleh musuh-musuh syariat di dalam lapangan politik hari ini. Mereka ibarat
golongan Sekular Kapitalis yang menguasai ekonomi dengan menyekat sumber
kehidupan komuniti masyarakat yang tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka
berselindung di bawah kapasiti seorang penganut Islam tetapi dalam jiwa mereka
penuh dengan rancangan kebatilan.
Firman Allah;
“Mereka berkata lagi; Demi
sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu
orang-orang yang mulia (pihak kita) akan mengusir keluar orang-orang yang hina
(orang yang berhijrah ke Madinah). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan itu dan
bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan
munafiq tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Al-Munafiqun:8)
Abdullah bin Ubay menyimpan hasad yang
mendalam terhadap Islam, kerana kehadiran Nabi Muhammad s.a.w telah memalapkan
peluangnya menjadi pemimpin pilihan bagi masyarakat di Madinah. Abdullah bin
Ubay membahasakan dirinya “orang yang lebih mulia” dan membahasakan Nabi
Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya “orang-orang yang lebih hina”, sedangkan
pada neraca Allah ia adalah sebaliknya.
Kata Imam al-Qurtubi r.hm, “Pada
perkiraan orang munafiq mereka menyangka “orang yang lebih mulia” adalah orang
yang banyak harta dan ramai para pengikutnya. Lalu diterangkan Allah bahawa
kemuliaan adalah kurniaan yang hanya diberi kepada Rasul-Nya dan umatnya yang
beriman.” (Tafsir al-Qurtubi:18/129)
Ibnu Ishak menjelaskan lagi, akibat
rancangan nista Abdullah bin Ubay itu menyebabkan anaknya yang juga bernama
Abdullah bertemu Rasulullah s.a.w sseraya menuturkan kata, “Ya Rasulallah, saya
mendengar tuan ingin membunuh ayah saya. Seandainya itulah arahan tuan maka
perintahkanlah saya membunuhnya.”
Rasulullah s.a.w lalu menjawab;
“Tidak!
Sebaliknya kita berlemah lembut dan bersahabat baik dengannya selagi dia
tinggal bersama-sama dengan kita.”
Surah ini secara keseluruhan menemukan
kita dengan perjalanan sirah, manhaj tarbiyah Ilahiyah dan takdir Allah dalam
mengatur sesuatu urusan. Orang-orang munafiq hidup dalam barisan orang-orang
beriman sehinggalah di penghujung hayat baginda Rasulullah s.a.w. Rasulullah
s.a.w tidakpun mengeluarkan mereka daripada kelompok orang-orang beriman,
walaupun baginda mengenal mereka melalui perangai, ragam, bahasa dan ciri-ciri
mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Sesungguhnya ada tanda-tanda pada
orang munafiq yang dapat dikenali, penghormatan mereka (terhadap orang lain)
adalah laknat, makanan mereka adalah hasil rampasan, ghanimah (harta rampasan
perang) mereka adalah kecurangan, mereka tidak mendekati masjid kecuali
menjauhkan diri darinya, tidak menunaikan solat kecuali setelah selesai,
sombong, tidak mahu bersahabat dan tidak mahu diajak bersahabat, berkumpul pada
malam hari dan bergaduh pada siangnya.” (Riwayat Ahmad)
Sungguhpun sifat munafiq itu nyata
disebut di dalam Al-Quran, ia bukanlah tugas umat yang beriman untuk menghukum
kepura-puraan kaum munafiq selagi belum nyata pengkhianatan mereka dalam bentuk
tindakan. Tugas utama umat yang beriman adalah menyampaikan saranan-saranan
yang terkandung di dalam Al-Quran demi kelancaran risalah dakwah yang
ditinggalkan baginda Rasulullah s.a.w. Kepada orang yang munafiq ini cukuplah
kita katakan;
“Allah
laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).”
(Al-Munafiqun:4)
Berdasarkan amalan politik Rasulullah
s.a.w, baginda tidak pernahpun mengambil tindakan terhadap kaum munafiq selama
mereka menampakkan ke-Islaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Hal
itu kerana Allah tidak menyandarkan hati manusia kepada manusia. Apa yang
terkandung dalam hati manusia itu adalah milik Allah semata-mata, dan Dia-lah
yang akan menghisabnya di hari kemudian. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani
menyebutkan:
“Kami adalah kaum yang berhukum kepada
perkara-perkara yang zahir, kepada Allah diserahkan (segala hukuman) melibatkan
perkara-perkara batin (yang melibatkan hati).”
Allah tidak menjadikan syariat dan
hukum kepada manusia berdasarkan firasat. Kerana itu, Rasulullah s.a.w hanya
menyenaraikan nama-nama golongan munafiq kepada Huzaifah al-Yamani r.a sahaja
dan melarang laporan itu disensasikan. Umar al-Khattab r.a sering bertemu dan
bertanya kepada Huzaifah agar merasa tenang dari unsur kemunafiqan. Kata
Huzaifah yang terkenal dengan gelaran “Penyimpan Rahsia Nabi” – Sohib Sirr
Ar-Rasul – itu, “Wahai Umar, kamu tidak termasuk di kalangan mereka (yang
munafiq). Aku dilarang Rasulullah berlebih-lebihan membicarakan hal ini.”
Allah melarang Rasulullah s.a.w
mendirikan solat jenazah ke atas orang-orang munafiq ketika kematian Abdullah
bin Ubai sebagaimana firman-Nya;
“Dan
janganlah kamu sekali-kali mensolatkan (jenazah orang munafiq) seorang yang
mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya.
Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati
dalam keadaan fasik.”
(At-Taubah:84)
Setelah baginda wafat perbuatan
Huzaifah-lah yang menjadi isyarat kepada para sahabat jika beliau tidak
melakukan solat jenazah ke atas seseorang yang dikenalnya. Sungguhpun demikian
Huzaifah tidak mengatakan apa-apapun atas tindakannya itu, ini kerana maklumat
sulit yang diterima adalah amanah Rasulullah s.a.w yang tiada sesiapapun yang
boleh mengetahuinya.
DISEDIAKAN OLEH :
(TENGKU
FARHANAN BINTI TENGKU MOHAMED)
IJAZAH SARJANA MUDA PSIKOLOGI INDUSTRI
UNISEL, BESTARI JAYA
Referensi:
1.
Sayyid Qutb, “Tafsir Fi Zilal al-Quran”
2.
Imam al-Hafiz Imaduddin Ibnu Kathir, “Mukhtasar Tafsir Ibnu
Kathir”
3.
Syeikh Mohammad Ali as-Sobuni, “Sofwatu at-Tafasir”
No comments:
Post a Comment