PENGENALAN
Islam adalah agama yang bersifat tolong
menolong dan lindung-melindungi. Ia merupakan satu cara hidup yang dikurniakan
oleh Allah SWT dengan memuliakan manusia dan menghormati mereka agar kehidupan
manusia hanya akan terlaksana apabila mereka mengetahui akan hakikat dirinya
terlebih dahulu. Lantaran itu, barulah mereka mengetahui bahawa mereka adalah
hamba Tuhan yang Maha Esa, iaitu Allah SWT yang bersifat dengan segala sifat
kesempurnaan.
Kemudian dengan memastikan wujudnya
unsur-unsur untuk hidup mulia akan memungkinkan mereka dapat mengabdikan diri
kepada Allah. Usaha ni tidak lengkap tanpa unsur tolong-menolong dan
lindung-melindungi yang berasaskan hormat-menghormati sehingga tidak ada
peluang bagi sesiapa pun melakukan kezaliman dan pengkhianatan.
Syariat Islam berbeza sama sekali dengan
sebarang undang-undang cipataan manusia. Ia adalah satu peraturan yang dapat
memenuhi segala keperluan asas dan kepentingan manusia yang bersesuaian dengan
jiwa dan peningkatan tarafnya. Agama Islam dapat memenuhi keperluan tersebut
melalui satu sistem bersepadu yang bermula dengan pembentukan aqidah yang
betul, membetulkan pandangan terhadap alam semesta dan kehidupan, pembentukan akhlak yang mulia
dan menyediakan garis panduan yang bersistem dan berkesan.
Zakat adalah salah satu daripada ciri-ciri
tersebut yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk membentuk peribadi manusia,
sesuai dengan pra-syarat kebahagian sesebuah masyarakat yang harmoni, mahupun
sebagai individu yang menyangjungi kebahagiannya dalam kehidupan ini.
PENGERTIAN ZAKAT MENURUT ISLAM
Perkataan zakat itu sendiri berasal
daripada bahasa Arab. Menurut pengertian
bahasa ia bermaksud bersih ataupun suci.
Tetapi menurut pergertian Islam, ia adalah kadar yang ditetapkan ke atas
harta-harta tertentu, dikeluarkan kepada orang tertentu dan mempunyai
syarat-syarat yang sudah ditentukan.
Zakat adalah tuntutan ibadah yang
tersendiri dalam Islam melalui harta benda dan kekayaan yang dimiliki oleh
seseorang. Selain itu, zakat juga adalah asas yang kuat bagi membentuk sistem
ekonomi umat Islam yang menjamin keadilan dan ketenteraman hidup di daripada
rukun Islam yang bercorak kemasyarakatan dan bertujuan melahirkan keseimbangan
dan mendekatkan jurang perbezaan serta mengekalkan perpaduan dan kehormonian
dalam masyarakat. Memandangkan betapa besar erti zakat dan kepentingan dalam
membangunkan umat, maka sesiapa yang mengingkari hukum wajib zakat adalah
terkeluar daripada Islam.
Zakat merupakan satu syariat kemanusian
yang kekal. Syariat zakat diwarisi daripada nabi-nabi terdahulu sebelum
kedatangan agama Islam lagi. Sesebuah masyarakat dianggap tidak beragama tanpa
ada kewajipan bermasyarakat yang telah lama berakar umbi seperti zakat. Zakat
menjadi ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT sebagai salah satu jaminan sosial
serta kebajikan manusia, kesinambungan sepanjang masa. Zakat merupakan
keistimewaan yang besar kerana dijadikan sumber kewangan yang abadi dalam
sistem kewangan Islam.
DEFINISI PADA SYARA’
Pengertian zakat pada istilah syara’ ialah
kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib
diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.
TUJUAN MENGELUARKAN ZAKAT
Zakat dilaksanakan atas sebab-sebab dan
tujuan tertentu. Antara tujuan dilaksanakan zakat ialah untuk membantu orang
miskin serta golongan yang tidak berkemampuan daripada pelbagai segi. Memberi
peluang kepada golongan miskin untuk sama-sama berasa senang dan tidak berasa
terlalu terhimpit dengan kemiskinan. Selain itu, untuk menghapuskan atau
mengurangkan tingkat di antara golongan miskin dan juga golongan kaya.
Bukan itu sahaja, untuk menghindarkan serta
menghapuskan sifat tamak dan sombong di kalangan orang kaya dan golongan
berpendapatan tinggi. Akhir sekali untuk menyedarkan golongan yang berkemampuan
dan kaya akan tanggungjawab mereka terutamanya dalam membantu golongan yang
lebih susah.
Hukum Zakat
Zakat adalah antara rukun Islam yang
penting . Hukum zakat mempunyai dalil-dalil mutamad dari sedut petunjuk dan
sabitnya. Ia menjadikan hukum zakat itu jelas dan mudah diketahui dari sedut
agama. Oleh itu, hukum orang yang menafikan wajib zakat adalah kafir. Ini
berdasarkan firman Allah SWT:
واقيموا الصلوة وءاتوا الزكوة
Maksudnya : Dan dirikanlah kamu akan
sembahyang dan keluarkan zakat.
( Surah al-Baqarah :43)
Oleh kerana perintah mendirikan solat
adalah wajib, begitu juga menunaikan zakat adalah wajib. Ini kerana perintah
dan arahan menunaikan zakat dengan sighah fi’il amar atau suruhan.
Perintah mengeluarkan zakat disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran pada
32 tempat.
Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda
kepada Mu’az RA ketika Baginda mengutuskannya ke Yaman yang bermaksud :
“ Jika mereka mematuhi perkara itu,
beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu
sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang
diambil daripada orang kaya lalu diagih-agihkan kepada orang fakir di kalangan
mereka.”
Riwayat Muslim (130)
Hadith
ini menunjukkan zakat diberi kepada golongan fakir negeri yang dipungut zakat
pada asalnya. Akan tetapi para fuqaha mengharuskan untuk dipindahkan zakat
kepada negeri yang lain jika penduduk tersebut memerlukannya sebagaimana
pendapat Syeikh al-Syarbasi.
Selain itu, hukum memberi sedekah kepada
peminta sedekah atau memberi zakat kepada mereka adalah bergantung kepada
keadaan dan individu. Ini kerana ada yang meminta sedekah tetapi mempunyai
harta dan asset yang banyak. Inilah fatwa Syeikh Ibn Jabrin.
ZAKAT FITRAH
Pergertian zakat fitrah merupakan zakat yang
dilaksanakan pada bila-bila masa di dalam bulan Ramadhan atau bulan puasa.
Seseorang yang telah cukup syarat diwajibkan membayar zakat fitrah kerana
merupakan salah satu rukun Islam. Tempoh bagi pembayaran zakat fitrah apabila
masuk bulan Ramadhan sehingga terbenam matahari 30 Ramadhan iaitu sebelum
tibanya 1 Syawal. Apabila sudah masuk bulan Syawal, kita tidak boleh lagi
membayar zakat kerana sudah melebihi tempoh yang telah ditetapkan. Zakat fitrah
berasal dari fitrah yang telah dijadikan oleh Allah SWT kepada semua
makhluk-Nya.
Ibnu al-Rifa’ah menyatakan, ianya
diwajibkan ke atas kejadian manusia untuk tujuan membersihkan jiwa dan
mengembangkan amalannya. Waki’e al-Jarrah berpendapat bahawa zakat fitrah untuk
bulan Ramadhan sama seperti sujud sahwi untuk solat bagi menampung kekurangan
puasa yang telah dikerjakan seperti sujud sahwi itu adalah untuk menampung
kekurangan solat.
Manakala,
Ibnu Qutaibah berpendapat, maksud zakat fitrah ialah sedekah untuk jiwa berdasarkan
kepada fitrah yang merupakan asal kejadian. Walau bagaimanapun, Ibnu Daqiq
al-‘Aid telah memberi pendapat yang mengatakan bahawa makna zakat fitrah itu
berdasarkan kepada waktunya adalah pendapat yang lemah. Alasannya ialah zakat
itu adalah disandarkan kepada fitrah dan bukan untuk menunjukkan kepada waktu
wajibnya, bahkan maksudnya ialah untuk menyandarkan zakat itu kepada kebenaran
untuk berbuka dan mengakhiri Ramadhan.
Ada keterangan yang menunjukkan wajibnya
zakat fitrah memang sudah jelas diterangkan dalam hadis berikut: “Abdullah bin
Umar melaporkan, Nabi Muhammad mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan
segantang tamar ataupun segantang gandum ke atas setiap orang merdeka ataupun
hamba, lelaki ataupun perempuan di kalangan orang Islam.”
Menurut al- Khatib al-Syarbini, dinamakan
zakat fitrah kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kerana kewajipan
mengeluarkan zakatnya berlaku dengan masuknya waktu dibenarkan berbuka untuk
berhari raya. Zakat fitrah adalah berasal dari fitrah yang dijadikan oleh Allah
SWT kepada semua makhluk-Nya sebagaimana firman Allah SWT:
التي فطر الناس عليها
Maksudnya : Iaitu agama yang Allah menciptakan manusia ( dengan
keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya.
( Surah al-Rum: 30)
Gunanya zakat fitrah
Orang
yang sedang berpuasa kadang-kadang terlanjur mengeluarkan kata-kata yang keji,
yang disebabkan oleh urusun duniawi. Sedang beribadat puasa adalah ibadat suci,
yang harus dipelihara baik-baik. Sebagai seorang yang sedang melakukan ibadat
suci, tidak selayaknya ia mengeluarkan kata-kata yang keji itu.
Umpamanya mengumpat, bergunjing,
memaki-maki dan lain-lainnya. Sebab semuanya itu adalah mengotorkan jia orang
yang berpuasa. Oleh sebab itu agama Islam memerintahkan supaya mengeluarkan
zakat fitrah untuk mensucikan jiwa orang yang berpuasa. Juga untuk menolong
fakir miskin, supaya mereka sama merasakan pula kelazatan berhati raya.
Waktu membayar zakat fitrah
Menurut pendapat ulama feqah, bahawa untuk
membayarkan zakat fitrah itu ada lima waktunya. Waktu jawaz (boleh) , waktu
wajib (harus) waktu afdaal (ulama), waktu makruh dan waktu haram. Waktu jawaz ialah
sejak awal bulan Ramadhan, waktu wajib ialah bila matahari telah terbenam,
waktu afdal, ialah sebelu, manusia keluar untuk mengerjakan sembahyang hari
raya, waktu makruh ialah sesudah selesai hari raya iaitu esoknya.
Syarat-syarat wajib berzakat
·
Islam
Orang kafir tidak wajib berzakat sebagai
kewajiban yang dituntut di dunia. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW
daripada kata-kata Abu Bakar RA:
هذه فريضة الصدقة التي فرضها رسول الله صلي الله عليه
وسلم علي المسلمين
Maksudnya : “ Ini adalah kewajipan berzakat yang
telah difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam.”
Perkataan ke atas orang Islam itu adalah
jelas menunjukkan bahawa orang bukan Islam tidak dituntut berzakat di dunia
ini. Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke atas orang kafir itu ialah zakat
harta. Tetapi, zakat fitrah, mereka wajib mengeluarkannya bagi kaum keluarganya
yang Islam yang di bawah tanggungannya.
·
Memiliki nisab
Nisab ialah had minimum harta yang
dimiliki. Hal ini akan dijelaskan kemudian dan begitu juga tentang dalilnya
ketika membahaskan jenis-jenis harta yang wajib zakat. Zakat perhiasan wanita
apabila sampai nisab diwajibkan iaitu sebanyak 20 mithqal emas.
·
Cukup setahun qamariah memiliki nisab
Zakat tidak
wajib walau seberapa banyak sekalipun harta yang dimiliki kecuali
setelah genap setahun memilikinya. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW :
ليس في مال زكاة حتي يحول عليه الحول
Maksudnya : “ Tidak wajib zakat harta hingga berlalu
masa setahun.”
( Riwayat Abu Daud)
Syarat tersebut dikecualikan bagi zakat
tanam-tanaman,buah-buahan dan galian. Oleh itu tidak disyaratkan genap setahun
memilikinya. Bahkan zakatnya wajib dikeluarkan dengan segara baik sehaja
mendapat hasilnya. Tidak dikenakan zakat pada permata, kasturi dan anbar
tanpa khilaf. Ijmak ulama juga bahawa tidak dikenakan zakat seperti yang
dikeluarkan tumbuhan daripada bumi. Antaranya ialah tebu, kayu api dan
lain-lain.
Selain itu, tidak dikenakan zakat daripada
tembaga, besi kaca dan bahan galian yang lain selain daripada emas dan perak
dengan ijma. Seterusnya ijma para ulama juga tidak dikenakan zakat harta
perhiasan daripada permata dan yaqut.
Orang yang wajib dan cukup hartanya setiap
tahun wajib mengeluarkan zakat. Sebaliknya, orang Islam yang tidak cukup
hartanya satu nisbah, tidak wajib baginya mengeluarkan zakat.
Hikmah berzakat
Antara hikmah diwajibkan zakat ada banyak.
Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya. Faedah zakat
juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Antara hikmah dan faedah tersebut
adalah seperti satu cara pengabdian diri terhadap Allah SWT dengan cara
mengeluarkan sebahagian harta untuk
diberikan kepada orang lain yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin agar
dapat turut sama mengecapi nikmat Allah.
Amalan berzakat boleh membiasakan diri
pengeluarnya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan
itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat
dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih
ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya. Hal ini ssebagaimana
yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:
ما نقصت صدقة من مان مال
Maksudnya : “ Zakat itu tidak mengurangi harta”
( Riwayat Muslim)
Allah SWT akan menjauhkan harta tersebut
daripada sesuatu yang memudharatkannya
dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut,
Allah SWT juga menunjukkan cara-cara
untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di
samping itu, Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang besar kerana
mengeluarkan harta semata-mata untuk kerehhaan-Nya.
Selain
itu, zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih saying antara
pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam
masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat
kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya
jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat
keseluruhannya.
Zakat
juga berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih
sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang
memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial iaitu bertambahnya golongan ynag memerlukan bantuan serta
golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan
taraf sosial yang ketara. Golongan yang berada dan mewah membantu golongan yang
miskin sedangkan golongan yang daif mengasihi golongan yang berada. Zakat juga
membersihkan harta benda daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan, sesuai
dengan hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Jabir r.a Rasulullah SAW bersabda
:
“ Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya,
nescaya akan hapuslah segala perkara yang boleh merosakkan hartanya.”
Selain itu, zakat merupakan cara yang dapat
membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang menberi kesan kepada
masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun
sifat berkasih sayang, tolong –menolong
dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah
menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Oleh sebab itu,
ia dapat membersihkan bersih jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati
serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan
dan kekayaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
خذ من امولهم صدقة تطهرهم وتزكيهم بها
Maksudnya: “Ambilllah ( sebahagian ) dari harta
mereka menjadi sedekah (zakat) , supaya dengannya engkau membersihkan mereka (
dari dosa) dan menyucikan mereka ( dari akhlak yang buruk).
(Surah al- Taubah:103)
Secara ringkasnya, zakat fitrah berfungsi
sebagai menyucikan dosa bagi yang berdosa, memberi makan kepada golongan miskin
dan menampal kekurangan puasa. Bukan itu sahaja, mensyukuri kepada Allah SWT
kerana sempurnanya Ramadhan, bersyukur kepada Allah SWT dan memberi kegembiraan
kepada orang yang lapar pada hari raya.
Jenis-jenis dan
syarat-syarat mengeluarkan zakat
Zakat tergolong kepada dua jenis yang
pertama zakat “ badaniah” iaitu zakat tubuh badan atau zakat fitrah. Zakat
“maliah” iaitu zakat harta benda seperti wang, perniagaan, binatang ternakan
dan sebagainya.
Syarat wajib zakat fitrah
· Islam ( yang bukan Islam tidak diwajibkan berzakat)
Bagaimanapun, zakat yang tidak wajib ke
atas orang kafir itu ialah zakat harta. Tetapi zakat fitrah, mereka wajib
mengeluarkannya bagi kaum keluarganya yang Islam yang di bawah tanggungannya.
·
Merdeka ( hamba
tidak wajib mengeluarkan zakat)
·
Terbenam matahari pada hari terakhir bulan Ramadhan
Sesiapa yang meninggal dunia selepas
matahari terbenam pada hari tersebut , wajib bayar zakat fitrah atasnya sama
ada meninggal dunia setelah dia mampu mengeluarkannya atau sebelumnya. Tidak
wajib zakat atas bayi yang baru dilahirkan selepas matahari terbenam, dan
sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum matahari terbenam. Sementara bayi
yang wajib dilahirkan sebelum matahari terbenam wajib dikeluarkan zakat
fitrahnya.
· Memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan
bagi diri dan tanggungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat
tinggal dan khadam jika perlu.
Hukum Zakat Fitrah
Ulama telah berselisih tentang hukum zakat
fitrah kepada tiga pendapat, iaitu hukum adalah fardhu. Inilah pendapat mazhab
Maliki, Syafie dan Ahmad. Begitu juga pendapat Abu al- Aliyyah, Ata’ dan Ibn
Sirin manakala menurut mazahab hanafi pula berpendapat bahawa ianya adalah
wajib dan bukan fardhu. Fardhu menurut pandangan mereka ialah hukum yang
ditetapkan dengan dalil yang qat’ie, manakala wajib pula ialah hukum
yang ditetapkan dengan dalil yang zamni. Manakala, hukumnya adalah sunat
muakkad sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Malikiyyah dari ashab. Ia juga
merupakan pendapat sebahagian al-Zahiriah dan Ibn al- Liban daripada
al-Syafi’eyyah.
Ibnu
Qudamah menyatakan bahawa pendapat yang sahih ialah hukumnya fardhu berdasarkan
kepada Ibn Umar: Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah dan juga berdasarkan
kepada ijma’ ulama yang berpendapat hukumnya adalah fardhu. Perselisihan yang
berlaku di antara jumhur dengan al-Hanafiyyah adalah perselisihan pada istilah
sahaja.
Kadar bayaran zakat fitrah
Kadar bayaran mengikut cara asal ialah
1gantang Baghdad makanan asasi sesuatu tempat seperti beras atau gandum. Kedua,
mengikut sukatan timbangan sebanyak 2.27 kilogram bersamaan nilai mengikut
kadar nilai matawang semasa.
ZAKAT HARTA
Zakat harta seperti wang simpanan, emas dan
perak, binatang ternakan biji-bijian dan perniagaan pada asasnya mempunyai
syarat-syarat yang sama seperti ;
- Islam.
- Sempurna milik.
- Merdeka.
- Cukup nisab (mengikut kadar-kadar tertentu bagi jenis-jenis zakat).
- Cukup haul (memiliknya tidak kurang daripada 1 tahun).
Cukup nisab ini ada perbezaannya bagi zakat-zakat
berikut:
Zakat Emas dan Perak
Emas dan perak ialah galian-galian yang diwajibkan
zakat oleh Islam. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Quran surah al-Taubah
34-35 yang bermaksud:
“ Dan mereka yang menyimpan emas dan perak,
dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah ( mengeluarkan zakat ), maka
gembirakanlah mereka dengan azab yang pedih. Pada hari mereka dibakar di dalam
neraka Jahanam dan dibakar muka mereka, rusuk dan belakang mereka seraya
dikatakan kepadanya, “ Inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu,
maka rasailah balasan yang kamu simpan dahulu.”
Kadar yang wajib dikeluarkan ialah:
·
Emas
Nisab emas ialah seberat 20 miskal iaitu bersamaan 25 mayam 2.7108
saga emas. Kadar zakat emas yang cukup nisabnya ialah 2.5% atau 1/40.
·
Perak
Nisab perak ialah 200 dirham iaitu
bersamaan 176 maryam 6.9732 saga perak. Kadar zakat yang wajib dikeluarkannya
sama seperti kadar emas iaitu 2.5% atau 1/40.
Zakat Galian dan Harta Karun
Ø Hasil galian / perlombongan emas atau perak
yang cukup nisbahnya sebanyak 20 miskal
atau lebih hendaklah dikeluarkan
zakatnya sebanyak 2.5% tanpa menunggu cukup setahun sebagaimana harta simpanan emas dan perak.
Ø Harta kekayaan yang djumpai tertanam di
dalam tanah dan dipercayai hasil simpanan orang-orang jahiliah dahulu (harta
rikaz) wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 20% daripadanya tanpa menunggu cukup
setahun dan nisabnya yang tertentu. Nisabnya ialah sebanyak mana bahan itu
dijumpai.
Ø Mengikut kadar sekarang ; 20 miskal
bersamaan dengan 85 gram emas atau nilai yang menyamai 85 gram emas, di mana
nilai tersebut sentiasa berubah-ubah mengikut harga pasaran emas semasa.
Perhiasan Emas dan Perak
Emas dan perak yang dijadikan perhiasan perempuan
tidak diwajibkan zakat kecuali yang berlebihan daripada sepatutnya.
Zakat KWSP ( Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
)
KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama
seperti wang simpanan, Cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh
dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa. Caruman wang
pekerja dan majikan ke dalam KWSP dikenakan zakat apabila cukup nisab dan haul.
Terdapat 2 pendapat dalam pengiraan zakat KWSP.
·
Milik Tak Sempurna
Zakat hanya wajib dikeluarkan ketika
bersara atau mengeluarkan sebahagian wang daripada KWSP semasa cukup umur.
Kadarnya ialah 2.5%.
·
Milik Sempurna
Wang yang tersimpan dalam KWSP dikenakan
zakat apabila ianya cukup nisab dan haul (caruman wang pekerja sahaja iaitu
tidak termasuk caruman majikan). Ini bermaksud ianya wajib dikeluarkan zakat
apabila memenuhi syarat syaratnya walaupun wang tersebut masih berada dalam
tabung KWSP. Kadarnya ialah 2.5% apabila caruman melebihi nisab.
Selain zakat harta diatas ialah zakat wang
dan perniagaan, zakat saham, zakat binatang ternakan dan zakat biji bijian/
buah buahan.
RUJUKAN
1. Fiqh Syafii Jilid 1 Haji Idris Ahad S.H
Pustaka Antara.Sdn.Bhd
2. Ibadah Zakat Dan Segala Masalahnya Abdul
Malik Rahman Jasmin Enterpraise.
3. Dato Dr Haron Din Menjawab Persoalan Fikah
Harian Bersama Ishak Din & Abu Hassan Din Pts Publication.
5. Indahnya Hidup Bersyariat Dato Ismail Kamus
Terbitan Telaga Biru.
DISEDIAKAN OLEH :
1) NUR ALYA
SYAFIQAH BT SHAMSHULSAKRI
2) NUR
BARI’AH ADIBAH BT MOHD FAUZI
-DIPLOMA PENDIDIKAN PENGAJIAN ISLAM
-UNISEL, BESTARI JAYA
No comments:
Post a Comment